Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 9)

667
SHARE

📓 Tadabbur Al Quran 📓

Surah Al-Mulk: Siri 9

Ayat: 12 : Isyarat Kekuasaan Allah pada Ilmu-Nya yang Sangat Halus pada Penciptaan-Nya (1)

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya dengan ghaib, bagi mereka adalah keampunan dan pahala yang besar.

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan tentang situasi orang kafir di akhirat sebagai satu bentuk tarhib iaitu ancaman dan peringatan, Allah SWT menarik hati manusia dengan cara targhib iaitu memberi gambaran yang indah tentang situasi orang beriman.

2. Bagi orang beriman yang meyakini akan perkara-perkara ghaibiyyat yang terangkum di dalam rukun iman, akan muncul dalam hati mereka rasa takut kepada Allah SWT melebihi takutnya kepada perkara yang lain. Disebabkan keyakinan ini, mereka akan berasa sentiasa diawasi oleh Allah SWT pada setiap perkara yang dilakukan dan pada setiap masa walaupun mereka tidak nampak Allah sedang mengawasi mereka ataupun pada ketika mereka terlindung daripada pandangan orang lain.

3. Kewaspadaan dan kesedaran inilah yang melayakkan mereka mendapat keampunan dan beroleh ganjaran yang besar dari Allah SWT.

🎀 Pengajaran

1. Berusahalah untuk menambah ilmu pengetahuan, supaya mampu menambah keimanan terhadap perkara ghaibiyyat. Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa al-khasyyah atau rasa takut adalah refleksi daripada keimanan dan pengetahuan.

2. Sifat taqwa dalam diri boleh dilihat dengan banyak atau sedikit seseorang itu melakukan kebaikan. Oleh itu beriltizamlah dengan perkara-perkara kebaikan, sama ada yang zahir mahupun yang batin seperti lintasan hati dan sangkaan. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui segala-galanya.

3. Bersabarlah menahan diri daripada melakukan kemungkaran, kerana tiada balasan atau ganjaran yang lebih besar melainkan balasan yang datang daripada Yang Maha Membalas iaitu Allah SWT.

📚 Rujukan:
Tafsir Al-Azhar, Jilid 29
Tafsir Fi Zilal

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
31 Januari 2020 / 6 Jamadil Akhir 1441