Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 20)

9047
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 20


Ayat 30 : Kekuasaan Allah Tetap Mutlak

? Firman Allah serta terjemahannya:

قُلْ اَرَءَيْتُمْ اِنْ اَصْبَحَ مَاۤؤُكُمْ غَوْرًا فَمَنْ يَّأْتِيْكُمْ بِمَاۤءٍ مَّعِيْنٍ

Katakanlah (Muhammad), “Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?”

? Tafsir Ringkas:

1. Selepas Allah SWT menyatakan kewajipan bertawakkal hanya kepada-Nya dan bukan kepada tuhan yang lain, Allah SWT menutup surah ini dengan menimbulkan persoalan tentang siapakah yang mampu mengalirkan air yang banyak dan bertali arus di bumi ini apabila ia kering?

2. Persoalan ini agar orang kafir berfikir, dan mengakui bahawa tiada yang boleh mendatangkan air kecuali Allah SWT; sama ada dengan menurunkan hujan atau salji, mengalirkannya di mata air dan sungai, serta memastikan alirannya berlaku dengan seimbang untuk manfaat semua hidupan.

? Pengajaran

1. Kuasa Allah SWT mengatasi semua kuasa makhluk-Nya. Sebagai makhluk, kita janganlah bersikap sombong kerana kita tiada apa-apa tanpa pemberian daripada Allah SWT.

2. Bergantung dan bertawakkallah kepada Allah SWT dalam segala hajat dan urusan selepas berusaha dengan bersungguh-sungguh.

3. Apa sahaja yang berlaku termasuklah air yang keluar daripada dalam bumi adalah dengan izin Allah SWT, tiada siapa yang mampu menghalangnya ataupun mendapatkannya tanpa izin daripada Allah. Sebagai khalifah Allah, manusia mestilah mengurus sumber air dengan sebaik mungkin. Hargai dan peliharalah nikmat sumber air yang Allah kurniakan dengan menjauhi pembaziran dalam penggunaan seharian dan menghentikan aktiviti yang menyebabkan pencemaran sumber air seperti sungai, saliran dan lautan.

? Rujukan:
1)Tafsir Fi Zilal
2) Tafsir Al Jalalayn
3) Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
17 April 2020 / 23 Sya’ban 1441