Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 2)

14827
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 2

Ayat: 2 : Bukti Kekuasaan Allah pada Diri Manusia

? Firman Allah serta terjemahannya:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ

Dia lah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa dan Maha Pengampun.

? Tafsir ringkas:

1. Selepas ayat pertama yang menerangkan tentang kehebatan Allah SWT yang memegang seluruh kerajaan dan juga Maha Berkuasa atas segala sesuatu, ayat kedua ini mula menghuraikan salah satu tanda kekuasaan Allah iaitu penciptaan kematian dan kehidupan yang dilalui oleh setiap manusia. Ayat ini mengajak manusia merenungi dan memikirkan rahsia di sebalik kejadian hidup dan mati termasuklah hikmah di sebalik perencanaan Allah dan ujianNya agar manusia dapat melihat dan memahami kebesaran kuasa Allah, kebijaksanaan dalam mengatur segala urusan dan kesempurnaan pentadbiranNya.

2. “Dia lah yang telah menciptakan (خلق) kematian dan kehidupan”, ayat ini dijadikan dalil oleh sebahagian ulama bahawa kematian dan kehidupan juga adalah suatu bentuk makhluk yang wujud kerana ia diciptakan oleh Allah. Ayat ini juga bermaksud Allahlah yang telah menjadikan proses kematian dan kehidupan ataupun menetapkan masa kematian dan kehidupan seseorang.

3. Dalam ayat ini Allah menyebut kematian dahulu diikuti dengan kehidupan. Mati (الموت) di sini bermaksud ‘tanpa kehidupan’ yang merangkumi fasa sebelum kelahiran dan selepas kehidupan seseorang manusia. Manakala hidup (الحياة) pula meliputi kehidupan di alam dunia dan kehidupan di alam Akhirat. Terdapat ayat lain dalam Al Quran yang menyebutkan kematian dan kehidupan dengan makna yang sama sebagaimana firman Allah:

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah: 28)

4. Seterusnya ayat ini menjelaskan bahawa Allah menjadikan kematian dan kehidupan dengan tujuan untuk menguji siapakah makhluk ciptaanNya yang paling baik amalnya. Setiap manusia akan melalui ujian saringan bagi mengenalpasti siapakah yang paling taat dan ikhlas dalam beramal. Ayat ini menunjukkan bahawa penilaian amal di sisi Allah adalah pada kualiti amal tersebut, bukan semata-mata pada kuantitinya kerana dalam ayat ini Allah tidak mengatakan: “yang paling banyak amalnya.”

5. Diakhir ayat ini Allah menyatakan bahawa “Dan Dia Maha Perkasa dan Maha Pengampun”. Dua sifat Allah yang ditonjolkan dalam frasa hujung ini menunjukkan kesempurnaan sifatNya. Allah itu Maha Perkasa dalam melakukan penilaian dan hukuman, maka manusia mestilah melakukan segala amal dengan penuh kesungguhan, berhati-hati dan berdisiplin agar amalan mereka diterima oleh Allah. Pada masa yang sama, Allah juga bersifat Maha Pengampun pada hambaNya yang melakukan kesilapan dan sentiasa memohon keampunanNya serta berusaha untuk mentaati perintahNya.

? Pengajaran

1. Baca, fahami makna dan tadabbur ayat-ayat Al Quran yang menerangkan tentang kematian dan kehidupan agar kita lebih memahami dan menghayati tujuan sebenar kita diciptakan oleh Allah SWT.

2. Sedarilah bahawa hidup dan mati itu bukanlah suatu fenomena semulajadi dalam kitaran alam semata-mata bahkan kedua-duanya adalah ciptaan dan ketentuan daripada Allah SWT untuk menguji tahap keimanan dan kepatuhan kita kepadaNya. Tiada perkara dalam urusan hidup dan mati yang berlaku secara kebetulan, sia-sia atau tersilap. Oleh itu, bersihkan aqidah kita daripada bersangka buruk kepada Allah dan teguhkan keyakinan dan keimanan kita pada qadha’ dan qadarNya.

3. Sentiasa memohon agar Allah meringankan ujian kesakitan dan kesukaran sakaratulmaut dengan mengamalkan doa berikut:

‏”‏اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى غَمَرَاتِ الْمَوْتِ”‏ ‏ أَوْ “سَكَرَاتِ الْمَوْتِ”‏ ‏
“Ya Allah, tolonglah aku dari kesakitan kematian” atau “kesulitan kematian.” (Riwayat Tirmizi)

4. Perbetulkan niat dan tujuan dalam setiap perkara yang kita lakukan sama ada dalam perkara aqidah, ibadah ataupun mu’amalah. Tetapkan KPI yang perlu dicapai dan berusahalah bersungguh-sungguh dalam semua pekerjaan.

5. Bersabar dan istiqamahlah dalam melakukan amal kebaikan dan meninggalkan maksiat biarpun sedikit kerana amalan yang dicintai Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit.

6. Manfaatkan masa hidup kita di dunia ini dengan melakukan amal soleh sebaik-baiknya. Perbaikilah amalan kita agar diterima oleh Allah dan tingkatkan amalan seolah-olah maut sudah semakin hampir dengan kita.

7. Janganlah bersikap sambil lewa atau mengambil mudah dalam melakukan ibadah atau sebarang pekerjaan kerana Allah Maha Perkasa dalam menilai setiap amalan kita dan juga Maha Membalas atas segala kesalahan. Di samping itu, sentiasalah memohon keampunan daripada Allah atas sebarang kesilapan kerana Allah juga bersifat Maha Pemaaf dan Pengampun. Oleh itu, janganlah kita sesekali berputus asa dari rahmat Allah walaupun dosa kita menggunung tinggi.

? Rujukan:
1) Tafsir Ibn Kathir
2) Tafsir Fi Zhilal Quran
3) Tafsir Al Munir
4) Achmad Chodjim (2013), Membangun Surga, Serambi Ilmu Semesta.

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
13 Disember 2019 / 16 Rabi’ul Akhir 1441