Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 18)

2992
SHARE

Tadabbur Al Quran

??Surah Al-Mulk: Siri 18 ??

Ayat: 25-27 : Isyarat Kekuasaan Allah Pada Ilmu-Nya Tentang Perkara Ghaib (Tarikh Kiamat)

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

Dan mereka berkata, “Bila (datangnya) ancaman itu jika kamu orang yang benar?”

قُلْ إِنَّمَا ٱلْعِلْمُ عِندَ ٱللَّهِ وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya ilmu (tentang hari kiamat itu) hanya ada pada Allah. Dan aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan.

فَلَمَّا رَأَوْهُ زُلْفَةً سِيئَتْ وُجُوهُ الَّذِينَ كَفَرُوا وَقِيلَ هَٰذَا الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ

Maka ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat) sudah dekat, wajah orang-orang kafir itu menjadi muram. Dan dikatakan (kepada mereka), “Inilah (azab) yang dahulu kamu memintanya.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat 25 menerangkan mengenai pertanyaan orang-orang yang dilanda keraguan serta orang-orang kafir yang degil dan angkuh yang mencabar kebenaran hari kiamat dengan mempersoalkan bilakah hari kiamat akan berlaku, sedangkan jika mereka mengetahuinya sekalipun ia tidak akan merubah atau menjejaskan suatu apapun. Waima hari kiamat itu datangnya esok atau berjuta-juta tahun akan datang, keadaan mereka tetap sama kerana hari kiamat itu tetap akan datang jua. Mereka semua akan dihimpunkan pada hari itu dan segala amalan mereka dalam kehidupan akan diberi balasan.

2. Sesungguhnya pengetahuan tentang bila hari kiamat akan berlaku hanya ada pada Allah SWT sahaja. Allah menyuruh Rasulullah SAW supaya menegaskan bahawa tugas Baginda hanyalah memberi peringatan dan penjelasan sahaja, sedangkan ilmu tentang kiamat itu sendiri tersimpan di sisi Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

3. Apabila orang-orang kafir melihat peristiwa kiamat itu semakin dekat dan menghadapinya di depan mata mereka, maka muka mereka terus berubah menjadi muram dan tanda-tanda dukacita semakin jelas. Pada ketika itu, mereka akan ditempelak – inilah hari yang kamu cabar dan minta disegerakan kedatangannya iaitu hari kiamat. Dan inilah hari yg kamu dakwa ianya takkan berlaku.

? Pengajaran

1. Usahlah mempertikaikan apa yang dijanjikan oleh Allah SWT tentang hari kiamat kerana Dia Yang Lebih Mengetahui. Sebagai hamba-Nya, tugas kita adalah untuk meyakini dan membenarkan segala janji tersebut walaupun kita tidak mengetahui hakikat sebenar bila dan bagaimana ia akan berlaku.

2. Apa yang dibawa oleh kita adalah bukan dakwah daripada kita, malah semua itu adalah daripada Allah SWT. Sampaikanlah apa yang disampaikan oleh Allah SWT sahaja. Allah SWT mengajar manusia supaya menyampaikan kebenaran. Kebenaran di sini bermaksud sampaikanlah apa yang kita tahu sahaja mengenai hari kiamat. Manakala tarikh dan bila berlakunya hari kiamat hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Bahkan tiada satu pun manusia yang mengetahui bila berlakunya hari kiamat hatta Nabi Muhammad SAW sekalipun. Jawapan yang diajar oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW itu mengajar manusia untuk bersifat merendah diri. Tiada yang lebih berkuasa selain daripada Allah SWT.

3. Tugas Rasulullah SAW adalah menyampaikan kebenaran dan tugas itu akan bersambung kepada kita iaitu ummat Baginda SAW. Oleh itu, kita mestilah bersedia untuk menyampaikan dakwah supaya orang-orang kafir tidak berterusan mengejek dan memperlekehkan janji-janji Allah SWT. Malah kita perlu berusaha memberikan mereka keyakinan tentang adanya hari kiamat kerana pertanyaaan tentang kiamat itu bukan sahaja berlegar pada zaman dahulu sahaja bahkan ianya terus berlarutan sehingga zaman sekarang.

4. Pelajari ilmu tentang hari kiamat yang diceritakan dan digambarkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran; contohnya bagaimana saat berlakunya hari kiamat, apa yang akan terjadi ketika hari kiamat dan bagaimana bentuk pembalasan kepada manusia atas segala kejahatan ataupun kebaikan yang telah dilakukan semasa di dunia. Semua itu adalah peringatan dan pengajaran kepada kita supaya tidak lalai kepada Allah SWT.

? Rujukan:
1. Tafsir Fii Zilalil Quran
2. Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
3 April 2020 / 9 Syaaban 1441