Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 16)

5874
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 16

Ayat: 23 : Bukti Kekuasaan Allah pada Nikmat Kesempurnaan Ciptaan Manusia

? Firman Allah serta terjemahannya:

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنْشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.

? Tafsir:

1. Ayat ini menerangkan bahawa Allah SWT yang memulakan penciptaan seluruh makhluk daripada tiada kepada ada tanpa bantuan sesiapa pun. Ia menunjukkan kekuasaan Allah dalam menciptakan dan melakukan apa sahaja.

2. Ayat ini turut menjelaskan ciptaan manusia ini disempurnakan dengan tiga anggota yang paling bermanfaat iaitu pendengaran, penglihatan dan hati.

3. Pendengaran adalah alat untuk mendengarkan ayat-ayat suci daripada Allah untuk memberi pengetahuan supaya kita kenal dan cinta kepada Allah. Allah menyebut pendengaran sebelum penglihatan kerana ia lebih penting daripada penglihatan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Hal ini boleh dibandingkan sekiranya kita mengajar orang yang cacat pendengaran dan orang yang cacat penglihatan. Orang yang cacat penglihatan lebih mudah menerima ilmu dari orang yang cacat pendengaran kerana maklumat lebih banyak masuk melalui telinga.

4. Walaupun begitu, ilmu juga dapat diperolehi melalui dengan cara melihat. Penglihatan adalah alat yang dikurniakan untuk melihat ciptaan Allah bagi memberi keyakinan kepada ilmu yang dimiliki. Penglihatan itu banyak dan berbeza. Kita boleh memilih untuk melihat apa yang kita ingin lihat dan menundukkan pandangan daripada perkara yang tidak sepatutnya.

5. Manakala hati adalah tempat untuk memproses segala maklumat yang diperolehi daripada pendengaran dan penglihatan. Allah SWT menggunakan perkataan الْأَفْئِدَةَ adalah jamak bagi perkataan ‘fuaad‘. Ia bukan hanya bermaksud ‘hati’ kerana kalau hati sahaja, perkataan qalb akan digunakan. Fuaad bermaksud hati yang sedang bekerja dan ada emosi. Daripada hati sebeginilah akan ada keputusan yang dicapai oleh manusia.

6. Penciptaan manusia yang sempurna adalah sebagai bukti bahawa hanya kepada Allah yang berhak disembah dan mengajak hambaNya untuk bersyukur serta mengesakanNya dalam ibadah. Dan sesungguhnya tujuan penciptaan manusia itu adalah semata untuk beribadah kepada Allah SWT.

7. Walau bagaimanapun, di bahagian terakhir ayat ini Allah berfirman, “amat sedikit kamu bersyukur”. Ia membawa maksud segala kurniaan yang telah Allah berikan kepada manusia, teramat sedikit yang digunakan dalam ketaatan kepadaNya, menjalankan perintah dan menjauhi laranganNya. Bahkan, sedikit sahaja di kalangan manusia yang bersyukur di atas nikmat yang telah dikurniakan.

? Pengajaran

1. Kita diciptakan oleh Allah Ya Khaliq (Maha Pencipta) di muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya. Renungi dan hargailah kejadian anggota tubuh badan kita yang Allah SWT ciptakan penuh sempurna agar kita lebih mengenali dan mencintai, laksanakanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas semata mengharapkan keredhaan daripadaNya dan berikanlah sepenuh ketaatan dan keutamaan kepada Allah dalam semua perkara.

2. Pendengaran adalah nikmat deria yang paling bermanfaat yang dikurniakan kepada kita. Gunakanlah nikmat pendengaran itu untuk mendengar perkara kebaikan seperti mendengar bacaan kalam suci Al-Quran, zikir dan majlis ilmu. Janganlah sesekali kita melazimi telinga kita dengan perkara-perkara yang melalaikan kerana ia akan membentuk jiwa yang lemah dan seterusnya merosakkan pemikiran kita. Jiwa kita harus dibentuk untuk menjadi kuat bagi menangani cabaran masa kini yang cukup mencabar dengan ideologi yang bercanggah dengan akidah Islam. Jiwa yang lemah akan mudah terpedaya dengan pengaruh yang tidak sepatutnya dan melalaikan kita dengan keseronokan dunia.

3. Gunakan penglihatan yang dikurniakan untuk melihat kebesaran ciptaan Allah SWT. Setiap apa yang kita lihat, akan terakam di dalam minda kita. Jadikan setiap pandangan kita untuk berfikir mengenai Allah Ya ‘Aziz (Yang Maha Berkuasa). Mohon kepada Allah Ya Hadi (Yang Maha Pemberi Petunjuk) agar kita sentiasa memandang kepada kebenaran dan dipalingkan daripada kebatilan kerana di akhir zaman ini, apa yang kita lihat tidak semestinya adalah kebenaran. *Sentiasalah tundukkan pandangan daripada perkara maksiat.

4. Hati adalah raja dalam tubuh badan manusia. Sekiranya baik sekeping hati itu, maka baiklah seluruh anggotanya. Hati yang bersih akan sentiasa berfikir baik-baik tentang semua perkara sedangkan hati Yang kotor akan menjadikan kita seorang yang sering berprasangka. Oleh itu, kita digalakkan untuk sentiasa beristighfar bagi mensucikan hati daripada kekotoran akibat dosa kita sendiri. Hati yang bersih juga akan mendorong kita ke arah kebenaran dan membuat keputusan yang terbaik.

5. Kita hendaklah mendidik hati kita untuk sentiasa menjadi hambaNya yang bersyukur. Sesungguhnya Allah SWT akan menggandakan nikmat yang dikurniakan sekiranya kita bersyukur. Rasa syukur itu perlu dirasakan oleh hati, dilafazkan dengan lidah dan dilaksanakan oleh anggota badan kita. Bukan sekadar ucapan ‘alhamdulillah’ tapi juga dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Tafsir Al-Jalalain
3. Kuliah Tadabbur Surah al-Mulk (ayat 20-23) oleh Ustaz Muein Abdul Rahman

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
20 Mac 2020 / 25 Rejab 1441