Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Mulk: Siri 13

515
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Mulk: Siri 13

Ayat 19 : Bukti Kekuasaan Allah pada Sifat Burung

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ ۚ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ ١٩
Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang terbang di atas mereka, burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia, terhadap tiap-tiap sesuatu, Maha Melihat.

📖 Tafsir ringkas:

1. Selepas beberapa amaran dan ancaman dalam ayat-ayat sebelumnya, ayat ini mengajak manusia memerhati dan berfikir tentang kejadian burung yang berterbangan di udara dengan mengembang dan menguncupkan sayapnya sebagai suatu keajaiban ciptaan Allah yang membuktikan kekuasaan-Nya.

2. Ayat ini menjelaskan bahawa burung boleh berterbangan dan terapung di udara bukanlah semata-mata kerana kemampuan dan daya semulajadi burung menggerakkan sayapnya. Sebenarnya, kekuasaan Allah Yang Maha Pemurah jualah yang menahan burung itu daripada jatuh ke bumi. Lantaran pemurahnya Allah, diciptakan burung dalam bentuk aerodynamic bagi membolehkannya terbang. Tanpa rahmat-Nya, nescaya burung tidak akan mampu terapung di udara. Perkara ini juga dijelaskan dalam Surah Al Nahl, ayat 79:

أَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ مُسَخَّرَاتٍ فِي جَوِّ السَّمَاءِ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

3. Di hujung ayat ini, Allah menegaskan bahawa Dia Maha Melihat akan tiap-tiap sesuatu. Ini bermakna Allah sentiasa memerhati dan mengetahui segala perkara yang berlaku. Oleh sebab itu Allah menyedia, mengatur, memberi tenaga kekuatan dan memelihara segala-galanya di setiap saat dengan penuh teliti dan pengetahuan yang mendalam.

🎀 Pengajaran:

1. Gunakanlah pancaindera dan akal yang dikurniakan Allah untuk memerhati, merenungi dan berfikir tentang kejadian burung yang berterbangan di angkasa sehingga lahir perasaan takjub terhadap kehebatan dan kekuasaan Allah SWT lalu meningkatkan keimanan kepada-Nya.

2. Pelajari, terokai dan perkembangkanlah ilmu berkaitan kejadian burung yang Allah terangkan dalam Al Quran untuk menghasilkan teknologi yang memberi manfaat kepada kehidupan manusia. Contohnya, teori dan kajian saintifik berkaitan teknologi penerbangan berpandukan Al Quran telah berjaya membuka jalan kepada penciptaan kapal terbang sebagaimana yang telah dirintis oleh Ibn Firnas, sarjana Muslim pertama yang mencipta alat untuk terbang dan melakukan ujian penerbangan.

3. Sebagai seorang Muslim, perbetulkanlah pandangan kita terhadap segala kemajuan sains teknologi moden yang ditemui dan direka oleh para saintis agar kita tidak hanya berbangga dengan kehebatan ilmu dan kajian saintifik semata-mata. Sebaliknya segala kejayaan penemuan tersebut hendaklah dihubungkan terus dengan kekuasaan mencipta, ketinggian ilmu serta ketelitian pemerhatian Allah agar dapat menambah penghayatan, keyakinan dan keimanan kita kepada segala nama dan sifat Allah SWT.

📚 Rujukan:
1. Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zilal Al Quran
2. Jamsari et.al, Ibn Firnas and His Contribution to the Aviation Technology of the World, https://www.researchgate.net/publication/257656795_Ibn_Firnas_and_His_Contribution_to_the_Aviation_Technology_of_the_World

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
28 Februari 2020 / 4 Rejab 1441