Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al Ahzab: Siri 25

1442
SHARE

Tadabbur Al Quran Surah  Al Ahzab: Siri 25

Ayat 59 : Seruan Buat Nabi SAW Berkaitan Perkara Hijab Wanita Mukminat

Firman Allah serta terjemahannya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri orang-orang mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan hijabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah dikenali sehingga mereka tidak mudah diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Tafsir ringkas:

1. Ayat sebelum ini Allah SWT memberikan ancaman kepada orang yang menyakitiNya dan Rasulnya dengan cara menghina dan merendahkan Rasullullah SAW. Bahkan, Allah SWT juga melaknat orang-orang yang menyakiti orang yang beriman baik lelaki mahupun perempuan.

2. Dalam ayat ini Allah SWT telah memerintahkan Rasullullah SAW supaya menyuruh semua wanita Islam, dimulai dengan isteri dan anakanda baginda serta diikuti oleh wanita mukmin yang lain, untuk menutup aurat dengan menutup seluruh tubuh mereka supaya mereka mudah dikenali dan tidak diganggu oleh para lelaki fasik.

3. Asbab ayat ini diturunkan adalah untuk memelihara kehormatan wanita mukmin yang merdeka daripada diganggu oleh golongan lelaki fasik (jahat) yang tersalah anggap bahawa mereka sebagai hamba sahaya. Kebiasaannya pada zaman itu, para wanita akan keluar pada waktu malam untuk melepaskan hajat (buang air). Oleh itu, orang-orang fasik mengambil kesempatan keluar pada waktu malam dengan niat untuk memperhatikan para wanita dan ingin menggoda mereka. Perintah pemakaian hijab bagi wanita mukmin yang merdeka dapat membezakan mereka daripada golongan hamba. Apabila lelaki-lelaki fasik melihat seorang wanita berhijab, mereka mengetahui bahawa wanita itu adalah wanita terhormat sehinggakan mereka tidak akan berani untuk mengganggu wanita itu. Akan tetapi apabila mereka melihat wanita yang tidak berhijab, mereka akan segera menghampiri dan mengganggunya.

4. Seterusnya Allah menyambung, _”Dan Allah Maha Pengampun dan Penyayang”_. Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT Maha Pengampun terhadap apa yang telah dilakukan oleh wanita mukmin di zaman jahiliyah di mana ketika itu mereka tidak mengetahui akan hal tersebut. Akan tetapi, apabila ayat ini diturunkan, mereka segera menutupi seluruh kepala dan tubuh mereka dengan hijab. Sesungguhnya Allah telah menjelaskan perkara yang halal dan haram kepada mereka.

Pengajaran

1. Allah SWT telah menjadikan rupa paras seorang wanita itu dengan kecantikan semulajadi dan menjadi daya tarikan kepada golongan lelaki. Justeru itu, sebagai Muslimah, kita wajib menutup aurat dengan sempurna sepertimana yang telah digariskan di dalam ayat 31 surah An-Nur yang bermaksud, ”…dan hendaklah mereka menutup kain tudungnya hingga ke dada dan jangan lah menampakkan perhiasannya (auratnya)…” kecuali kepada lelaki muhrimnya.

2. Sebagai ketua keluarga, seorang bapa atau suami hendaklah menegur isteri dan anak-anak perempuannya untuk menutup aurat sepertimana yang telah diperintahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Bahkan Allah SWT juga berfirman, “Wahai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (At-Tahrim : 6). Ayat ini menunjukkan bahawa kita dituntut untuk menegur dan menasihati ahli keluarga kita terlebih dahulu sebelum berdakwah kepada orang lain.

3. Fahamilah bahawa perintah untuk mengenakan hijab bukanlah suatu diskriminasi atau bebanan kepada wanita Islam. Para Muslimah seharusnya sedar bahawa ia adalah bukti kasih sayang Allah SWT yang meninggikan darjat wanita Islam berbanding wanita kafir. Bahkan ia adalah satu penghormatan apabila wanita yang menutup aurat dengan sempurna lebih dihormati dan terpelihara daripada gangguan ‘nakal’ para ajnabi.

4. Sebagai wanita Muslimah, kita mestilah memperbetulkan niat kita memakai tudung kerana mentaati perintah Allah, bukannya mengikut trend fesyen semata-mata. Ramai Muslimah hari ini yang tertipu dengan budaya fesyen moden ini dan mengagungkan gaya fesyen hijab yang tidak mematuhi syariat untuk kelihatan cantik. Tidak dapat dinafikan fitrah wanita itu sukakan kecantikan dan tidak salah untuk mengenakan hijab dengan gaya tertentu selagi mana ia mengikut syariat yang telah digariskan.

5. Bagi wanita yang masih belum menutup aurat dengan sempurna, segeralah bertaubat. Sesungguhnya Allah masih membuka pintu taubat selagi mana nyawa dikandung badan kerana Allah Maha Pengampun lagi Penyayang. Peliharalah dirimu dengan menjaga auratmu kerana dirimu begitu berharga.

Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
18 Mei 2020 / 25 Ramadan 1441