Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 24

302
SHARE

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 24

Ayat 56-58: Perintah Selawat Kepada Nabi dan Memuliakannya

Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا

Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.

Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan tentang mahram bagi wanita, Allah SWT memuji dan memuliakan Nabi Muhammad SAW di sisi malaikat yang dekat dengan Allah SWT. Para malaikat juga memuji serta memuliakan Nabi Muhammad SAW. Mereka turut berselawat untuk baginda. Orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan beramal soleh, diseru agar berselawat untuk Nabi SAW kerana Allah SWT dan mengucapkan salam penghormatan dan salam kedamaian kepada baginda.

2. Erti selawat Allah ke atas Nabi SAW ialah Allah memujinya di alam al-Mala’ul-A’la manakala erti selawat para malaikat ialah mereka mendoakan baginda SAW di sisi Allah SWT. Ini menunjukkan betapa tingginya martabat Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah bertujuan untuk memberikan penghormatan kepada para mukminin dengan menyuruh mereka turut sama berselawat dan bertaslim kepada Nabi Muhammad SAW kerana Allah menghubungkan mereka melalui selawat dengan kemuncak Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia. Imam Al-Bukhari meriwayatkan, Abu Al-Aliyah berkata, “Selawat Allah adalah sanjungan-Nya kepada Nabi Muhammad SAW di sisi malaikat, sedangkan selawat para malaikat adalah doa.”

3. Dalam ayat seterusnya, Allah SWT menekankan bahawa orang-orang yang menyakiti Allah dengan menyekutukanNya dan berbuat maksiat serta orang-orang yang menyakiti RasulNya dengan perkataan dan perbuatan mereka, Allah akan melaknat dan menjauhkan mereka daripada kebaikan di dunia dan di akhirat. Mereka disediakan siksa yang menghinakan di akhirat kelak.

4. Tafsir Fi Zilal menyebutkan, Al Quran memberi peringatan kepada orang-orang yang menyakiti Nabi Muhammad SAW bahawa perbuatan mereka itu adalah satu kesalahan. Peringatan itu diberikan dalam dua cara:

a) memuji Rasulullah SAW dengan menerangkan bahawa baginda SAW mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan di alam Al-Mala’ul-A’la (di alam para malaikat).

b) menjelaskan bahawa perbuatan menyakiti baginda SAW adalah sama dengan menyakiti Allah SWT, balasannya ialah mereka akan dijauhkan daripada rahmat Allah di dunia dan di akhirat.

5. Allah SWT memberikan tekanan dan ancaman kepada orang yang menyakitiNya, iaitu orang yang menyalahi atau melanggar perintah-perintahNya, melakukan apa yang dilarangNya dan menyakiti RasulNya, dengan cara merendahkannya dan menghinanya. Barangsiapa menyakiti Nabi SAW bererti dia juga menyakiti Allah.

6. Allah juga menyatakan bahawa golongan yang menyakiti orang-orang mukminin dan mukminat dengan perkataan dan perbuatan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka golongan tersebut telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata dan kelak akan mendapat siksaan neraka. Antara perbuatan menyakiti orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan yang amat dilarang ialah:

a) membuat pembohongan-pembohongan dan memalitkan mereka dengan keaiban-keaiban yang tidak ada pada mereka.

b) membicarakan keburukan orang lain di belakangnya atau dipanggil ghibah (mengumpat).

Pengajaran:

1. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW kerana banyak keutamaannya di sisi Allah. Menurut Ibnu Qayyim, terdapat beberapa manfaat selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Antaranya ialah melaksanakan perintah Allah seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas. Orang yang berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebanyak sekali, akan mendapat sepuluh kali selawat daripada Allah SWT. Dia juga akan diangkat darjatnya sebanyak sepuluh tingkat, ditulis baginya sepuluh kebaikan dan dihapus daripadanya sepuluh kesalahan. Mereka yang berselawat juga akan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad SAW. Selain daripada itu, menurut Ibnu Qayyim lagi kebaikan bagi mereka yang mendahulukan doanya dengan berselawat, besar harapan doanya akan dimakbulkan. Selawat juga penghapus dosa-dosanya. Selain daripada itu, orang yang banyak berselawat menjadikan dia dekat dengan Rasulullah SAW. Mereka juga mendapat selawat daripada Allah dan para malaikat. Rasulullah SAW juga menjawab salam untuk orang yang berselawat kepadanya.

2. Bila kita mendengar nama Nabi Muhammad SAW disebut, maka sambutlah dengan berselawat kepadanya. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam hadith Nabi SAW sebagai bakhil dan diancam dengan azab neraka kerana tidak berselawat apabila mendengar nama baginda disebut.

3. Berhati-hatilah dalam setiap perbuatan dan ucapan kita agar tidak termasuk dalam perkara yang menyakiti Allah seperti sengaja mengolok-olokkan perintah Allah atau menyesali takdirNYA, merasa kecewa dengan ketentuan yang telah Allah tetapkan atau mengatakan Allah itu tidak adil. Perbuatan dan ucapan sebegini adalah sebahagian daripada kebiasaan orang jahiliyah; apabila mereka ditimpa sesuatu musibah maka mereka akan mencaci masa atau zaman, seperti mengatakan hari itu sial, pada hal masa itu adalah ketentuan Allah.

4. Sedarilah bahawa pada zaman sekarang terdapat golongan yang dengan sengaja merancang pelbagai cara dan agenda untuk menyakiti orang-orang Islam. Peristiwa ini telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Di Madinah, terdapat sekumpulan manusia yang mengaturkan rancangan-rancangan jahat terhadap orang-orang yang beriman. Mereka menyebarkan fitnah-fitnah keji dan juga merancang pakatan-pakatan jahat serta menghebohkan pelbagai cerita cerita dusta terhadap orang-orang yang beriman. Golongan-golongan jahat dan kumpulan munafiqin yang mempunyai penyakit hati di dalam hati mereka sentiasa mempunyai kegiatan tipu daya menyakiti orang-orang Islam. Yakinlah bawah janji Allah adalah pasti benar bahawa Allah akan membalas tipu daya mereka yang jahat itu. Allah telah mengingatkan kepada golongan yang menyakiti Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman, bagi mereka azab yang hina. Mereka tidak akan merasa tenteram semasa di dunia dan di akhirat kelak mereka akan mendapat azab siksaan api neraka dan menjadi penghuni neraka.

Rujukan:
1) Tafsir Muyassar
2) Tafsir Fi Zilal Al Quran
3) Tafsir Ibn Kathir
4) Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
17 Mei 2020 / 24 Ramadhan 1441