Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 23

754
SHARE

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 23

Ayat 55 : Pengecualian dalam Perintah Menutup Aurat

Firman Allah serta terjemahannya:

لَا جُنَاحَ عَلَيْهِنَّ فِي آبَائِهِنَّ وَلا أَبْنَائِهِنَّ وَلا إِخْوَانِهِنَّ وَلا أَبْنَاءِ إِخْوَانِهِنَّ وَلا أَبْنَاءِ أَخَوَاتِهِنَّ وَلا نِسَائِهِنَّ وَلا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ وَاتَّقِينَ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا

Tidak ada dosa atas isteri-isteri Nabi (untuk berjumpa tanpa hijab) dengan bapa-bapa mereka, anak-anak lelaki mereka, saudara lelaki mereka, anak lelakj daripada saudara lelaki mereka, anak lelaki daripada saudara mereka yang perempuan, perempuan-perempuan yang beriman dan hamba sahaya mereka yang mereka miliki; dan bertakwalah kamu (wahai isteri-isteri Nabi) kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

Tafsir ringkas:

1. Setelah Allah SWT memerintahkan kepada kaum wanita agar memakai hijab/tudung kepala apabila menemui lelaki lain yang bukan mahram, Dia menjelaskan tentang pengecualian bagi mereka yang disebutkan dalam ayat di atas, iaitu ahli keluarga mereka yang tidak perlu mereka memakai hijab bila berhadapan dengan mereka, sebagaimana pengecualian yang turut disebutkan di dalam surah An-Nur.

2. Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa para isteri Nabi SAW mesti berkomunikasi dengan orang luar di sebalik tabir, atau menutup aurat, maka ayat ini adalah pengecualian beberapa golongan daripada hukum tersebut.

3. Mereka yang dikecualikan adalah:

a. Bapa dan ke atas termasuk datuk.

b. Anak-anak lelaki termasuk cucu.

c. Adik beradik mereka.

d. Anak adik lelaki atau abang.

e. Anak adik perempuan atau kakak.

f. Perempuan yang beriman.

g. Hamba sahaya yang mereka miliki.

4. Di hujung ayat 55 ini, Allah memperkuatkan lagi pesanan agar para isteri Nabi SAW lebih berhati-hati dalam menjaga diri dengan bertakwa kepada Allah SWT ketika sembunyi ataupun dalam keadaan terang. Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu, dan tidak ada yang tersembunyi dari sisinya.

5. Meskipun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi SAW tetapi hukumnya terpakai ke atas semua wanita muslimah.

Pengajaran:

1. Renungilah hikmah hukum berkaitan aurat yang diperintahkan syarak yang bertujuan untuk menjaga kemuliaan dan kehormatan kaum wanita, bukannya untuk merendah-rendahkan ataupun menyusahkan mereka. Allah SWT adalah tuhan yang Maha Adil lagi Maha Mengasihani, tidak membebankan hambaNya dengan sesuatu hukum yang sukar dilaksanakan. Dia mewajibkan wanita Muslimah menutup aurat dengan lelaki ajnabi tetapi memberikan keringanan kepada mereka untuk tidak memakai tudung di hadapan lelaki yang mahram.

2. Setiap Muslimah mestilah menjaga auratnya dengan mana-mana lelaki ajnabi selain daripada suaminya dan mereka yang disebutkan dalam ayat ini. Menjaga aurat dan adab adalah termasuk ciri-ciri ketaqwaan seseorang Muslimah.

3. Janganlah kita mengambil mudah hal berkaitan aurat; berusahalah untuk menjaga aurat di hadapan ajnabi walaupun kita berada di rumah sendiri atau dalam keadaan sakit sebagai bukti ketaatan kita kepada perintah Allah SWT. Allah al-Syahid akan menjadi saksi atas kesungguhan muslimah untuk menjaga aurat dan adabnya, begitulah juga sebaliknya Allah Maha Penyaksi atas mereka yang lalai mematuhi perintah Allah.

Rujukan:
1. Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
16 Mei 2020 / 23 Ramadhan 1441