Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 22

1097
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 22

Ayat: 53-54: Adab Bertamu di Rumah Rasulullah SAW

? Firman Allah serta terjemahannya:

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَدخُلوا بُيوتَ النَّبِيِّ إِلّا أَن يُؤذَنَ لَكُم إِلىٰ طَعامٍ غَيرَ نٰظِرينَ إِنٰهُ وَلٰكِن إِذا دُعيتُم فَادخُلوا فَإِذا طَعِمتُم فَانتَشِروا وَلا مُستَئنِسينَ لِحَديثٍ ۚ إِنَّ ذٰلِكُم كانَ يُؤذِي النَّبِيَّ فَيَستَحيي مِنكُم ۖ وَاللهُ لا يَستَحيي مِنَ الحَقِّ ۚ وَإِذا سَأَلتُموهُنَّ مَتٰعًا فَاسئلوهُنَّ مِن وَراءِ حِجابٍ ۚ ذٰلِكُم أَطهَرُ لِقُلوبِكُم وَقُلوبِهِنَّ ۚ وَما كانَ لَكُم أَن تُؤذوا رَسولَ اللهِ وَلا أَن تَنكِحوا أَزوٰجَهُ مِن بَعدِهِ أَبَدًا ۚ إِنَّ ذٰلِكُم كانَ عِندَ اللهِ عَظيمًا

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali bila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu diundang maka masuklah dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memanjang percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi lalu Nabi malu kepadamu (untuk menyuruh kamu keluar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah dia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah.

إِن تُبدوا شَيئًا أَو تُخفوهُ فَإِنَّ اللهَ كانَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

Jika kamu melahirkan sesuatu atau menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat-ayat sebelum ini memaparkan kelebihan yang diberikan kepada Nabi dari sudut pernikahan. Seterusnya ayat 53 dan 54 ini menyentuh beberapa adab dan hukum berkaitan adab berkunjung ke rumah Rasulullah SAW dan berinteraksi dengan isteri-isteri baginda.

2. Ayat ini merupakan salah satu ayat yang Allah turunkan bertepatan dengan cadangan Umar al-Khattab kepada Rasulullah SAW, supaya memasang tabir bagi melindungi isteri-isteri Rasulullah daripada pandangan orang ramai sama ada yang baik mahupun yang fasik yang bebas keluar masuk ke rumah Rasulullah SAW.

3. Pada permulaan ayat 53, Allah SWT melarang orang-orang mukmin memasuki rumah-rumah Nabi SAW tanpa izin baginda sebagaimana yang mereka lakukan semasa jahiliyyah dan di masa awal Islam. Mereka hendaklah terlebih dahulu mendapat izin daripada tuan rumah. Kemudian Allah SWT mengecualikan mereka yang dibenarkan menghadiri jamuan yang diadakan oleh Rasulullah SAW. Tetapi mereka diajar agar tidak datang terlalu awal sebelum makanan masak dan tidak menunggu lama sesudahkan makan sehingga menyusahkan tuan rumah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Anas bin Malik yang menceritakan pada hari Rasulullah melangsungkan perkahwinan dengan Zainab binti Jahsy, Rasulullah telah meminta Anas mengundang orang ramai makan di rumah baginda. Tetamu yang diundang datang terlalu awal sebelum makanan siap dimasak. Setelah makanan dihidangkan, mereka makan dan pulang ke rumah masing-masing kecuali tiga orang. Mereka berbual-bual agak lama sehingga Rasulullah SAW rasa terganggu.

4. Perkara seterusnya yang terkandung dalam ayat ini adalah perintah supaya menjaga adab apabila berurusan dengan isteri-isteri Rasulullah. Para sahabat diminta supaya bercakap di sebalik tabir supaya tidak timbul keadaan yang tidak baik sehingga membawa kepada fitnah hati. Tujuan larangan ini adalah untuk mengelakkan kemungkinan ada sahabat yang tertarik dengan isteri-isteri Rasulullah sedangkan mereka diharamkan berkahwin dengan isteri-isteri Rasulullah SAW.

5. Ayat ini juga mengandungi larangan menyakiti Rasulullah SAW dan berkahwin dengan isteri-isteri baginda sesudah baginda wafat. Pengharaman ini adalah untuk selama-lamanya. Ini adalah sebagai penghormatan kepada isteri-isteri baginda. Mereka diberi gelaran “ummahatul mukminin” yang bermaksud ibu-ibu bagi orang-orang yang beriman.

6. Allah SWT menegaskan perkara ini sangat besar di sisi Allah dan Allah memberi peringatan bahawa Dia mengetahui setiap sesuatu yang tersurat mahupun yang tersembunyi di dalam hati.

? Pengajaran:

1. Janganlah memasuki mana-mana rumah kediaman sebelum diizinkan berbuat demikian. Apabila diizinkan masuk, hendaklah menjaga pandangan mata supaya tidak melihat sesuatu yang tidak sepatutnya.

2. Jangan menyusahkan tuan rumah apabila dijemput menghadiri jamuan. Datang pada waktu yang ditetapkan oleh tuan rumah; jangan datang terlalu awal sehingga terpaksa menunggu lama sebelum makanan disiapkan dan segera pulang selepas makan. Janganlah berbual terlalu lama.

3. Jagalah batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan apabila berurusan. Antaranya dengan bercakap di sebalik tabir serta menjaga mata dan hati. Sentiasa ingat bahawa Allah melihat dan mengetahui apa yang zahir dan apa yang tersirat di dalam hati.

4. Ketahuilah bahawa pengharaman berkahwin dengan isteri-isteri Rasulullah SAW selepas baginda wafat adalah khusus untuk isteri-isteri Rasulullah sahaja sebagai keistimewaan yang diberikan oleh kepada mereka. Bagi wanita-wanita lain yang kematian suami, mereka harus dikahwini dan tidak boleh dihalang daripada berkahwin lagi selepas habis ‘iddah mereka.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibn Kathir
2. Tafsir al-Jalalain
3. Rawi’i al Bayan

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
15 Mei 2020 / 22 Ramadhan 1441