Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran : Surah Al-Ahzab: Siri 16

1374
SHARE

Tadabbur Al Quran : Surah Al-Ahzab: Siri 16

Ayat: 37-38 : Hukum Anak Angkat

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَاهُ ۖ فَلَمَّا قَضَىٰ زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang telah Allah limpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya, “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah.” Sedangkan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedangkan Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia, supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.

مَّا كَانَ عَلَى النَّبِيِّ مِنْ حَرَجٍ فِيمَا فَرَضَ اللَّهُ لَهُ ۖ سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلُ ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ قَدَرًا مَّقْدُورًا

Tidak ada suatu keberatan pun atas Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya. (Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. Dan adalah ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku.

? Tafsir:

1. Ayat 37 mengukuhkan lagi hukum anak angkat yang telah disebutkan dalam ayat 4 sebelum ini. Ayat ini menjadi bukti dan menukar perspektif masyarakat tentang hubungan anak angkat dengan terjadinya perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan bekas isteri anak angkatnya sendiri.

2. Inilah satu-satunya ayat yang menyebut nama seorang sahabat dan isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Zaid ibnu Harithah dan Zainab binti Jahsyi. Zaid adalah orang yang telah mendapat limpahan nikmat daripada Allah SWT yang telah menjadikannya masuk Islam dan mengikuti Rasulullah SAW, dan baginda telah memerdekakannya daripada seorang hamba, sehingga menjadi seorang yang terhormat dan disegani lagi dicintai oleh Nabi SAW.

3. Nabi SAW telah meminang anak perempuan ibu saudara baginda (Umaimah binti Abdul Muttalib ) iaitu Zainab binti Jahsy Al-Asadiyah bagi pihak Zaid. Pada asalnya Zainab menolak perkahwinan ini kerana tidak sekufu, namun selepas turun ayat 36 sebelum ini, maka beliau menerimanya. Selepas perkahwinan itu, berlaku pertengkaran di antara keduanya, maka Zaid selalu datang menghadap Nabi SAW mengadukan masalahnya. Lalu Nabi SAW menasihatinya melalui sabdanya yang direkodkan oleh Allah dalam ayat ini, “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah.”

4. Sebenarnya Allah SWT telah memberitahu kepada Rasulullah SAW bahawa kelak Zainab akan menjadi salah seorang isterinya. Namun ketika Zaid datang kepada Nabi SAW mengadu sikap Zainab, Nabi SAW tetap mengatakan kepada Zaid supaya terus menjaganya. Maka Allah SWT berfirman, “Aku telah memberitahukan kepadamu bahawa aku akan mengahwinkannya denganmu, dan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya.” Orang kafir telah membuat fitnah mengatakan perkara yang tersembunyi di hati Nabi SAW ialah mengenai kecintaan Nabi terhadap Zainab dan ini adalah tidak benar sama sekali kerana Nabi SAW hanya mengikut perintah Allah SWT.

5. Nabi SAW menyembunyikan hal tersebut kerana khuatir akan pandangan masyarakat terhadap Islam disebabkan hal peribadinya. Ini kerana sudah menjadi tradisi masyarakat Arab menganggap anak angkat sebagai anak kandung, yang berhak menerima harta pusaka dan tidak boleh kahwini bekas isteri anak angkat. Setelah turun ayat 4 yang mengatakan anak angkat bukan seperti darah daging sendiri, maka ayat 37 ini membuktikan secara praktikal iaitu terjadinya perkahwinan ini oleh Nabi Muhammad SAW sendiri bagi menguatkan lagi status hukum anak angkat. Ditambah pula, sebelum peristiwa ini berlaku, Nabi SAW juga menghadapi pelbagai fitnah dan tohmahan oleh orang kafir dan munafik sehingga orang Islam sendiri juga terkesan dan keadaan ketika itu masih belum stabil setelah berlaku peperangan dan isu Bani Quraizah. Maka perkahwinan ini menjadi isu yang hangat diperkatakan.

6. Setelah Zaid menceraikan Zainab, Allah mengahwinkan Nabi SAW dengan Zainab secara langsung tanpa wali, perkara ini menjadi kebanggaan buat Zainab jika dibandingkan isteri baginda SAW yang lain. Dengan terjadinya perkahwinan ini, ia telah mengubah tradisi masyarakat terdahulu dan orang mukmin tidak akan merasa berat untuk melaksanakan hukum Allah SWT ini. Takdir daripada Allah telah menetapkan bahawa perkahwinan ini akan terjadi mengikut kehendakNya.

7. Seterusnya, ayat 38 menyanggah dakwaan orang munafik yang menyangka bahawa peristiwa ini akan menjatuhkan kredibiliti Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, peristiwa ini telah meningkatkan keyakinan orang mukmin. Perintah daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW tidak akan menyebabkan mereka rasa berdosa melaksanakannya.

? Pengajaran

1. Kita hendaklah mematuhi hukum daripada Allah walaupun terasa berat untuk melaksanakannya kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Perkahwinan antara bapa angkat dengan bekas isteri anak angkat atau anak angkat dengan bekas isteri bapa angkat adalah diharuskan dalam Islam.

2. Kita hendaklah melayani semua orang sama rata tidak kira darjat atau pangkat, seperti layanan baik Rasulullah SAW kepada Zaid sewaktu menjadi hamba sehingga apabila baginda memberi pilihan kepada Zaid untuk balik semula kepada keluarga kandungnya dari golongan bangsawan yang telah terpisah, namun Zaid memilih untuk tetap tinggal bersama Rasulullah SAW kerana budi pekerti mulia baginda.

3. Carilah calon pasangan yang sekufu kerana Islam menggalakkan perkahwinan sekufu bagi mengelakkan berlaku permasalahan kelak. Ini kerana sebahagian perceraian berlaku adalah disebabkan suami isteri tidak sama taraf dari sudut kedudukan, ilmu, rupa dan kerjaya. Namun tidak bermaksud tidak boleh berkahwin dengan orang yang tidak sekufu. Perkahwinan tidak sekufu adalah harus tetapi mestilah ada perbincangan serta persefahaman yang baik dari kedua belah pihak supaya tidak timbul masalah selepas berkahwin.

4. Kita harus ingat bahawa apa sahaja yang berlaku selepas perkahwinan, kita tidak boleh menyalahkan mereka yang merancang atau mencadangkan perkahwinan tersebut, kerana mereka insan biasa yang hanya melihat kebaikan buat kita apa yang terzahir sahaja, semuanya ini adalah aturan dari Allah SWT yang pasti ada hikmahNya.

5. Jika kita mempunyai masalah rumahtangga dan tidak tahu cara penyelesaiannya, rujuklah orang yang pakar dalam ilmu rumahtangga dengan niat untuk mencari solusi. Jangan mudah menceritakan hal rumahtangga yang bermasalah kepada orang lain.

6. Sentiasalah berfikiran positif dengan hanya mengambil kira sangkaan baik sahaja daripada masyarakat serta jagalah diri daripada fitnah manusia. Janganlah mudah terpedaya dengan kata-kata yang bukan daripada sumber yang sahih.

7. Kita hendaklah menerima ujian atau takdir Allah SWT dengan sentiasa bersangka baik kepadaNya. Urusan yang telah Allah tetapkan pasti akan terjadi sesuai mengikut kehendakNya dan Allah SWT mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
9 Mei 2020 / 16 Ramadhan 1441