Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran / Siri 39

1012
SHARE

Surah Ibrahim: Ayat 24 – 27

Perbezaan antara Kebenaran dan Kebatilan

Firman Allah serta terjemahannya:

أَلَم تَرَ كَيفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصلُها ثابِتٌ وَفَرعُها فِى السَّماءِ (٢٤)

Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit,

تُؤتى أُكُلَها كُلَّ حينٍ بِإِذنِ رَبِّها ۗ وَيَضرِبُ اللَّهُ الأَمثالَ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ (٢٥)

(pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat.

وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ (٢٦)

Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ (٢٧)

Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki.

Tafsir ringkas:

1. Allah SWT menggesa kita agar berfikir tentang pengertian yang sebenar makna kebenaran dan kebatilan. Dalam menjelaskan makna kedua-dua ini Allah mendatangkan dalam bentuk perumpamaan iaitu:

i. Kebenaran dan keimanan itu ibarat pohon yang baik, akarnya teguh membenam ke bumi dan dahannya rimbun menjulang ke langit. Kebenaran yang tertinggi adalah Kalimah Tayyibah (لا إله إلا الله) yang tersimpul dalam kalimah tauhid iaitu kalimat yang membezakan antara seorang mukmin dan orang kafir, kalimat yang membawa kita ke syurga.

ii. Kebatilan dan kemusyrikan pula ibarat seperti pohon yang buruk, akarnya lapuk hingga tercabut dari tanah dan sentiasa goyah. Kebatilan itu tersimpul pada kalimat-kalimat yang buruk iaitu ucapan-ucapan yang mengandungi kekafiran dan kemusyrikan atau yang mengajak kepada perbuatan maksiat.

2. Dengan melaksanakan tuntutan Kalimah Tayyibah ini Allah akan meneguhkan jiwa orang-orang mukmin dalam menjalani kehidupan di dunia dengan tenang yang membawa kepada kesejahteraan hidup di akhirat. Ini menunjukkan ada hubungan rapat antara iman dan kata-kata yang baik. Iman mendorong seseorang untuk sentiasa menggunakan kata-kata yang baik malah kata-kata yang baik itu dapat memelihara keteguhan iman seseorang.

Pengajaran:

1. Membandingkan antara hak dan batil melalui perumpamaan adalah salah satu metod pendidikan dan pengajaran yang berkesan bagi manusia.

2. Kita wajib menjaga keimanan anugerah Allah SWT. Jangan sekali-kali menjual aqidah ini dengan dunia dan seisinya, apalagi hanya dengan sebungkus maggi segera atau sehelai kain pelikat, mahupun dengan beberapa lembar wang ratusan ringgit.

3. Orang beriman hidupnya tidak akan pernah goyah, tertekan dan bingung dengan ujian yang mendatang. Sebaliknya, hidupnya penuh optimis, semangat dan energetik, kerana ia yakin bahawa semuanya di bawah pengawasan dan lindungan Allah.

4. Islam adalah agama yang paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. Jangan biarkan agama ini dihina oleh siapapun juga. Islam mesti memimpin dan umat Islam tidak perlu cemas terhadap berkuasanya orang-orang kafir kerana kebatilan akan hancur dan kebenaran tetap abadi.

5. Umat Islam mesti peka dan berusaha menyekat pemikiran asing yang merosakkan aqidah yang menjelma dalam pelbagai bentuk yang mengelirukan umat antaranya fahaman pluralism, liberalism, gerakan evangelism dan sebagainya.

6. Sekiranya kita yakin akan kebenaran yang diperjuangkan, maka berkatalah benar dan bersopan. Kata-kata yang tidak bertunjangkan hujah yang benar serta intonasi yang tidak sopan dan tidak beradab akan menutup kebenaran yang kita bawa. Ini sangat merugikan Islam yang benar itu.

Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Jalalain

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan Dakwah DMPK Gombak.
27 April 2018 / 11 Sya’ban 1439