Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 35/2018

1443
SHARE

? Tadabbur Al Quran ?
Siri 35/2018

SURAH AL KAHFI: KEDAHSYATAN HARI KIAMAT: 99-102

? Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ ۖ وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَجَمَعْنَاهُمْ جَمْعًا ٩٩

“Dan Kami biarkan mereka pada hari itu bercampur-aduk di antara satu dengan lain (laksana ombak di lautan), kemudian ditiupkan sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka semuanya”.

وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِلْكَافِرِينَ عَرْضًا (١٠٠)

“Dan Kami perlihatkan neraka jahanam pada hari itu kepada orang-orang yang kafir dengan terang dan jelas”.

الَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِي غِطَاءٍ عَنْ ذِكْرِي وَكَانُوا لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا ١٠١

“Iaitu orang-orang yang mata mereka mempunyai penutup daripada mengingatiKu dan adalah mereka itu tidak mampu mendengar”.

أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا عِبَادِي مِنْ دُونِي أَوْلِيَاءَ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَافِرِينَ نُزُلًا ١٠٢

“Adakah orang-orang kafir itu menyangka bahawa mereka (dapat) menjadikan hamba-hambaKu sebagai penolong dan pembantu selain daripadaKu? Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka jahannam bagi orang-orang kafir sebagai tempat menginap”.

? Tafsir Ringkas:

1. Dalam ayat-ayat di atas, Allah SWT menggambarkan keadaan manusia pada hari kiamat kelak. Allah menyatakan bahawa pada hari tersebut, manusia akan bercampur-baur seperti ombak yang beralun-alun akibat daripada huru-hara hari kiamat.

2. Allah SWT memerintahkan malaikat Israfil meniupkan sangkakala yang kedua untuk membangkitkan semua manusia. Mereka dikumpulkan beramai-ramai di padang mahsyar mengikut kehendak Allah SWT.

3. Pada saat terjadinya kemusnahan dunia nanti, Allah SWT akan membentangkan di hadapan orang-orang kafir laknatullah neraka jahanam sebagai tempat balasan mereka. Siapakah orang-orang engkar yang Allah sebutkan? Dalam ayat 101, Allah SWT telah menerangkan ciri-ciri tersebut.

4. Bagi menggambarkan ciri-ciri golongan ini, Allah SWT menggunakan bahasa yang halus dan menakjubkan untuk membuktikan bahawa al Quran ini adalah mukjizat. Allah tidak mengatakan mereka buta tetapi mengatakan bahawa mereka mempunyai mata yang ada penutup, maka disebabkan itulah mata mereka yang engkar ini tidak dapat berfungsi untuk melihat apa yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui ayat- ayat yang dibaca di dalam al Quran. Mereka juga bukan tidak mempunyai telinga, tetapi sengaja tidak mahu mendengar.

5. Golongan yang engkar ini menjadikan hamba-hamba Allah SWT tidak kira manusia, batu, kayu, iblis dan sebagainya sebagai penolong dan tuhan-tuhan yang lain selain Allah. Lalu Allah menyoal mereka: “Adakah kamu menyangka bahawa pembantu-pembantu itu dapat menolong kamu pada hari kiamat?”.

6. Bahkan, Allah SWT menyebut dengan bahasa yang lembut iaitu ‘tempat menginap’ yang menggambarkan seolah-olah tempat yang baik dan indah, walhal sebenarnya neraka jahanam adalah tempat yang gerun dan menyeksakan.

? Pengajaran:

1. Orang-orang beriman hendaklah memiliki pendinding diri yang kuat untuk menghadapi kerosakan akhir zaman yang mencabar.

2. Sentiasalah rapat dan membaca al Quran demi menanam keyakinan dengan janji Allah iaitu balasan yang baik untuk orang yang mentaatiNya, dan balasan yang buruk untuk mereka yang mengingkariNya.

3. Berilah peringatan kepada golongan yang kufur dan engkar kepada Allah, janganlah mereka merasa selamat jika terlepas dari hukuman dunia atau penguasa, tetapi ingatlah bahawa mereka tidak akan mudah terlepas daripada​ azab Allah yang pedih di akhirat kelak.

4. Berdoa dan bermunajat kepada Allah untuk menghidupkan hati kita, agar apabila dibacakan ayat-ayat suci al Quran, hati kita bergetar mengingati Allah.

5. Sentiasa memohon agar Allah SWT terus memberikan taufik dan hidayahNya kepada kita.

6. Membudayakan sifat bersyukur dengan anugerah mata dan telinga kurniaan Allah SWT serta bermuhasabah ke manakah kita gunakan kedua-dua nikmat tersebut.

7. Peliharalah mata dan telinga daripada​ maksiat. Ia adalah pintu utama kemasukan iblis untuk mempengaruhi kita menjadi orang-orang yang engkar.

8. Umat Islam dilarang tolong menolong dengan golongan kafir dan engkar, semata-mata untuk meraih kemenangan melalui jalan pintas dengan mengenepikan Syariat sedangkan Allah itu sebaik-baik penolong selagi mana perjuangan itu di landasan yang benar.

? Rujukan:
Tafsir Surah Al Kahfi, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dll.

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
30 Mac 2018/ 12 Rejab 1439