Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 33/2018

873
SHARE

Tadabbur Al Quran ?
Siri 33/2018
SURAH AL-KAHFI: PERJALANAN ZUL QARNAIN MEMBINA TEMBOK YAKJUJ DAN MAKJUJ: 92-94

? Firman Allah SWT serta terjemahannya:

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ٩٢
Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi).

حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ ٱلسَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا ٩٣
Hingga apabila dia telah sampai di antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu  kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

قَالُوا۟ يَٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰٓ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ٩٤
Mereka berkata: “Hai Zul Qarnain, sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?

 ? Tafsir Ringkas:

1. Setelah menjelajah wilayah sebelah timur Zul Qarnain menuju ke sebelah utara pula.

2. Perjalanan Zul Qarnain dari timur menuju utara itu akhirnya membawa beliau kepada dua pergunungan yang menjadi dinding penghalang dan pemisah antara Ya`juj dan Ma`juj dengan manusia. Di antara kedua gunung itu ada celahan yang dari sinilah Ya’juj dan Ma’juj keluar ke daerah-daerah berdekatan (negeri Turki) lalu membuat kerosakan, mengganggu dan membunuh para penduduk. Mereka juga telah menghancurkan kawasan sekitar dan membinasakan ternakan dan tanaman.

3. Di hadapan kedua gunung itu, Zul Qarnain bertemu dengan suatu kaum yang hampir-hampir tidak boleh memahami percakapan beliau kerana bahasa mereka sangat jauh bezanya dengan bahasa yang lain dan kedudukan mereka yang jauh daripada kaum lain.

4. Namun demikian Allah SWT telah memberikan Zul Qarnain kelebihan ilmu sehingga dia boleh memahami bahasa kaum tersebut dan dapat berkomunikasi dengan mereka.

5. Mereka kemudian mengadu kepada Zul Qarnain tentang kejahatan Ya`juj dan Ma`juj yang telah melakukan kerosakan di muka bumi. Mereka juga telah meminta bantuan daripada Zul Qarnain untuk membina tembok penghalang antara dua gunung tersebut daripada bahaya serangan Ya’juj dan Ma’juj. Ayat ini mengisyaratkan bahawa mereka tidak mampu membina sendiri tembok tersebut dan mereka mengetahui bahawa Zul Qarnain boleh melakukannya. Oleh itu, mereka bercadang untuk memberikan upah kepada Zul Qarnain bagi membina tembok itu.

6. Para ulama berpendapat bahawa Ya’juj dan Ma’juj adalah spesies manusia  yang kasar dan biadab dan sering membuat kerosakan di muka bumi, sebagaimana yang telah dilakukan oleh bangsa Tartar dan Mongol. Mereka adalah keturunan Yafits anak Nabi Nuh AS.

? Pengajaran:

1. Pejuang Islam hendaklah menghayati dan menyebarluaskan sistem Islam yang sentiasa menawarkan kesejahteraan dan membuka lembaran kebaikan kepada sesuatu negara. Islam adalah ad-diin dan daulah, sebab itulah ia bersifat menakluk, menguasai, mempengaruhi dan menyebar rahmatan lilalamin. Ia berbeza dengan penjajahan yang melibatkan pencerobohan negara, pemerasan dan kezaliman.

2. Umat Islam mestilah cakna dengan pemerintahan dan politik negara hatta politik dunia sekalipun, kerana kuasa besar harus berada di tangan umat Islam bagi memastikan bumi ini dimakmurkan mengikut acuan al-Quran.

3. Untuk menjadi kuasa besar yang menegakkan panji Islam, umat Islam mestilah :

a. mempunyai keupayaan berpolitik, mempunyai ilmu yang melampaui tanda aras yang tinggi, dan sarana dan prasarana yang terbaik.
b. sentiasa melaksanakan hukum-hukum Allah dan istiqamah dalam melaksanakan tuntutan Ilahi serta menyebarkan keadilan dan kesejahteraan.
c. menjadi satu kuasa dan gerakan yang prihatin, membela yang tertindas dan menghukum yang zalim serta menjadi penyelamat kepada yang fakir.
d. menguasai teknologi dan kreatif membuat inovasi untuk membangunkan negara dengan Islam.

e. bijaksana dalam mengadun sumber dan daya dalam negara.

4. Dalam menghadapi kerosakan akhir zaman, orang-orang yang beriman perlu memiliki pendinding diri yang boleh menyelamatkan keimanan dan agama mereka. Maka, berusahalah mendinding diri, keluarga, mahupun negara.

5. Wajib melengkapkan diri dengan ilmu dan maklumat berkenaan konspirasi musuh-musuh Islam agar kerosakan tidak dapat masuk menyelinap. Kerosakan tersebut boleh jadi fikiran jahat yang bermaksud buruk dan ideologi yang menyesatkan yang dianuti sebahagian manusia. Golongan yang menganuti ideologi yang sesat dengan kelicikan kejahatannya boleh mempergunakan orang lain sebagai alat untuk merosakkan bumi ini.

6. Di zaman umat Islam berpecah-belah, ketiadaan khilafah Islamiyyah dan daulah, mestilah ada satu gerakan atau jemaah Islam yang berpegang dengan prinsip Islam yang sebenar dan memiliki cita-cita untuk menegakkan Syariat dalam kehidupan masyarakat, negara dan seluruh alam. Aspirasi mulia ini mestilah ditanam dengan teguh pada setiap diri, keluarga dan negara serta bangsa.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir dll

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
16 Mac 2018 / 27 Jamadil Akhir 1439