Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 32/2018

1221
SHARE

? Tadabbur Al Quran ? Siri 32/2018
SURAH AL-KAHFI: PERJALANAN ZUL QARNAIN KE ARAH TIMUR DUNIA: 89-91

? Firman Allah SWT serta terjemahannya:

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ٨٩
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَمْ نَجْعَلْ لَهُمْ مِنْ دُونِهَا سِتْرًا  ٩٠
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.

كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا  ٩١
Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

 ?  Tafsir Ringkas:

1. Setelah selesai menjelajah dan menguasai wilayah barat dunia dan menegakkan sistem pemerintahan yang adil di sana, seterusnya ayat ini menjelaskan penjelajahan  Zul Qarnain mencari jalan lain pula di sebelah benua matahari terbit iaitu bergerak ke arah timur pula.

2. Apabila sampai di sebuah negeri wilayah timur itu, dia menyaksikan sebuah masyarakat yang hidup sangat primitif. Ayat tersebut menggambarkan seolah-olah wilayah timur yang dimaksudkan itu panas dan berpadang pasir lagi kering, tidak berbangunan, tiada berpokok sebagai pelindung daripada matahari. Tidak ada rumah dan atap yang menjadi tempat tinggal mereka. Bahkan sebahagian riwayat menyebutkan bahawa mereka hidup tanpa berpakaian sehingga panas matahari memancar secara langsung menerpa kulit tubuh mereka.

3. Meskipun ayat seterusnya  tidak menjelaskan apa yang dilakukan Zul Qarnain di tengah-tengah masyarakat itu, tapi ia menunjukkan kehebatan Zul Qarnain dalam menakluki sesuatu negeri dan ia adalah dalam pengetahuan Allah dan mendapat restu daripadaNya.

4. Allah SWT telah menganugerahkan ilmu-ilmu yang khusus kepada salah hambaNya iaitu Zul Qarnain yang diberi kekuasaan yang luas di bumi ini.

 ?  Pengajaran:

1. Umat Islam seharusnya bekerja keras dan berusaha mencari pelbagai jalan untuk menempa kejayaan dan kemenangan. Ia bukan diperoleh sewenang-wenangnya tetapi atas usaha yang diredhai lagi diberkati Allah.

2. Jadikan visi memerintah negeri @ negara untuk meraih keredhaan Allah kerana redha-Nya akan disusuli dengan limpahan keberkatan walaupun memerintah dalam tempoh atau penggal yang singkat.

3. Menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk menegakkan pemerintahan Islam. Justeru mereka mesti mempersiapkan aspek-aspek yang akan membawa kemenangan Islam.

4. Sebahagian manusia takut menerima Islam sebagai sistem kehidupan. Hakikat sebenarnya, penerimaan Islam akan disusuli keberkatan rezeki yang berganda.

5. Untuk menjadi pemimpin yang hebat mestilah mempunyai kepedulian yang tinggi untuk menolong golongan yang lemah di mana saja mereka berada dan terus berusaha memperluas kesejahteraan dan menegakkan keadilan berlandaskan Syariat.

6. Para pemimpin mestilah sentiasa mendekati masyarakat dan rakyatnya, mendengar secara langsung keluhan dan kesusahan mereka lalu bertindak untuk mengatasinya.

7. Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui segala sesuatu. Oleh itu, pemerintah tidak seharusnya tertipu dan hanyut dengan kekuasaan pemerintahannya.

? Rujukan:
Al-Asas Fi al-Tafsir
Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
9 March 2018 / 21 Jamadil Akhir 1439