Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 28/2018

1056
SHARE

SURAH AL-KAHFI (AYAT 79) : KHIDIR MENYINGKAP RAHSIA

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

Adapun perahu itu dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak merosakkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas semua perahu yang tidak rosak.

Tafsir ringkas:

1) Ayat ini masih lagi sambungan kepada kisah pengembaraan Nabi Musa bersama Khidir. Sebagaimana yang dimaklumi Khidir telah meletakkan syarat kepada Nabi Musa jika hendak mengikutnya, hendaklah dia tidak mempersoalkan apa sahaja yang dilakukan oleh Khidir. Jika tidak, mereka perlu berpisah.

2) Sepanjang perjalanan mereka, terdapat tiga peristiwa yang menimbulkan tanda tanya kepada Nabi Musa sehingga baginda mengingkari syarat Khidir. Pertama, mereka berjumpa sebuah kapal namun Khidir membocorkan kapal tersebut. Kedua, mereka menjumpai seorang anak kecil lalu Khidir membunuhnya. Ketiga, mereka menjumpai sebuah dinding (rumah) yang hampir hendak roboh lalu Khidir membinanya semula walaupun tiada upah langsung.

3) Sebelum mereka berpisah Khidir menerangkan sebab-sebab tindakan yang dilakukannya.

4) Maka pada ayat ke 79 ini, Khidir menjelaskan tujuan dibocorkan kapal ialah disebabkan kapal tersebut milik orang-orang miskin yang bekerja di laut. Mereka adalah golongan lemah yang dizalimi oleh raja mereka yang sentiasa merampas kapal-kapal milik mereka yang menjadi punca pendapatan dan sara hidup mereka.

5) Oleh itu, Khidir membocorkan kapal supaya rosak, agar ia selamat daripada dirampas oleh raja yang hanya mengambil kapal yang elok sahaja. Maka kapal yang rosak dan bocor itu akan terselamat.

6) Apa yang disebutkan dalam ayat ini merupakan tafsir dari perkara yang rumit untuk difahami oleh Nabi Musa dijelaskan melalui apa yang diingkari olehnya. Sementara Allah telah menampakkan kepada Khidir hakikat dari perkara sebenarnya.

7) Menurut suatu pendapat, para pemilik perahu itu adalah anak-anak yatim. Ibnu Juraij telah meriwayatkan dari Wahb ibnu Salman, dari Syu’aib Al-Jiba-i, bahawa nama raja yang zalim itu adalah Hadad ibnu Badad. Dalam riwayat Imam Bukhari telah disebutkan pula bahawa nama raja tersebut tertera di dalam kitab Taurat sebagai keturunan dari Al-Is ibnu Ishaq; dia termasuk salah seorang raja yang namanya tertera di dalam kitab Taurat.

Pengajaran:

1) Ada 1001 cara untuk mendapat ilmu dan hikmah. Walaupun dengan cara yang mungkin sedikit luar biasa, namun itulah cara Allah memberi hikmah kepada seseorang hambaNya.

2) Kita jangan cepat menghukum sesuatu perkara yang nampak zahir di mata. Namun sebenarnya ada cerita di sebaliknya. Berbaik sangka amat dianjurkan dalam Islam khususnya kepada orang berilmu dan warak.

3) Dalam menyelesaikan sesuatu perkara, kita haruslah panjang akal dan memandang jauh ke hadapan melebihi masalah yang ada. Solusi yang bijak perlu dilaksanakan.

4) Apabila berhadapan dengan pemerintahan yang zalim, kita perlulah bijak menangani kezaliman mereka tanpa berputus asa mengharapkan bantuan Allah.

5). Berusahalah menghapuskan kemungkaran pemerintah yang mencengkam rakyat dengan segala daya yang ada samada dengan lisan mahupun dengan tangan.

6) Fahamilah denyut nadi rakyat. Santuni dan bantulah orang-orang miskin dan lemah, lebih-lebih lagi yang dizalimi. Perjuangkan nasib mereka dan fikirkan cara untuk membebaskan mereka dari terus dizalimi.

Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
9 Februari 2018 / 23 Jamadil Awal 1439