Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 23/2018

1154
SHARE

*SURAH AL-KAHFI: KISAH NABI MUSA DAN KHIDIR ‘ALAIHIMASSALAM: 60-64*

*?Firman Allah SWT serta terjemahannya:*

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا (٦.)

_Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”._

فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا (٦١)

_Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah._

فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا (٦٢)

_Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”._

قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا (٦٣)

_Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”._

قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَىٰ آثَارِهِمَا قَصَصًا (٦٤)

_Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka._

*?Tafsir Ringkas:*

1. Pada ayat ini Allah SWT menceritakan tentang Nabi Musa AS telah meluahkan keinginannya kepada sahabatnya Yusya’ bin Nun untuk mencari seorang hamba Allah yang soleh setelah baginda ditegur oleh Allah kerana merasa dirinya lebih pandai sehingga Allah memberitahu bahawa ada yang lebih pandai dan alim daripadanya. Orang tersebut adalah Khidir yang boleh dijumpai di pertemuan dua laut. Nabi Musa AS memasang tekad untuk bertemu dengan Khidir yang memiliki banyak ilmu dan ingin berguru dengannya. Malah baginda sanggup berlayar dalam tempoh yang panjang dan menempuh pelbagai kesukaran dan kesusahan.

2. Nabi Musa dan sahabatnya pun mengembara dan akhirnya sampai di pertemuan dua laut yang telah dijanjikan Allah SWT lalu mereka mereka berhenti, tetapi mereka tidak tahu bahawa tempat itulah yang harus dituju kerana Allah tidak memberitahu secara pasti di mana tempat itu. Allah SWT hanya memberi petunjuk dengan menyuruh Nabi Musa membawa ikan masin dalam bakul. Jika ikan itu terlepas, maka di situlah tempatnya. Setelah tiba di sebuah batu, ikan itu terlepas dan Yusya’ tidak menceritakan hal itu pada Nabi Musa kerana ketika kejadian itu berlaku, Nabi Musa AS sedang tidur. Apabila baginda terjaga sahabatnya itu lupa untuk mengkhabarkan kejadian aneh tersebut.

3. Kemudian mereka berdua meneruskan perjalanan hingga pada hari kedua, mereka merasa lapar. Nabi Musa AS berkata pada Yusya’: “Bawalah makanan tengahari kita, sesungguhnya kita telah kepenatan dalam perjalanan ini.”

4. Apabila Yusya’ mendengar Nabi Musa AS minta bekalan untuk dimakannya, lalu dia pun menjawab secara jujur bahawa ikan itu hidup semula (ini adalah satu mukjizat bagi Nabi Musa) dan menggelepar kemudian masuk ke laut, ketika mereka beristirahat di batu tempat bertemunya dua laut. Yusya’ terlupa untuk menceritakannya pada Nabi Musa. Yusya’ menyatakan kekesalannya kerana kealpaan tersebut dan mengakui bahawa itu adalah angkara syaitan.

5. Apabila Nabi Musa AS mendengar kata-kata temannya itu, maka teringatlah dia bahawa tempat kejadian ikan itu berlaku, itulah tempat yang dicari-carinya. Lalu keduanya pun berpatah balik semula ke belakang mengikuti jejak kaki mereka, untuk menuju ke tempat letaknya batu besar itu.

*?Pengajaran:*

1. Para penuntut ilmu mestilah bersungguh-sungguh menuntut ilmu seperti Nabi Musa AS yang sanggup menempuh satu perjalanan yang jauh demi mencari seorang yang lebih alim daripadanya (Nabi Khidir) untuk menuntut ilmu. Sesungguhnya ilmu tidak akan bertambah dan tidak akan membawa kejayaan jika tidak bersungguh-sungguh.

2. Di samping itu, seorang penuntut ilmu juga perlu melakukan pelbagai pengorbanan demi menuntut ilmu hingga berjaya menguasainya. Contohnya, perjalanan Nabi Musa AS untuk mencari Khidir bukanlah sebuah perjalanan yang mudah. Nabi Musa AS perlu menempuh kesusahan akibat kekurangan bekalan makanan, perjalanan yang sangat jauh dan terpaksa meninggalkan keluarga demi menuntut ilmu.

3. Biarlah sejauh manapun perjalanan yang perlu dilalui dan ditempuhi, seorang penuntut ilmu itu tidak boleh ada rasa berputus asa. Perlu sentiasa berusaha dan mencari sehingga benar-benar menjumpainya.

4. Untuk mencapai apa sahaja cita-cita dan keinginan, kita mestilah meletakkan sasaran untuk berjaya terutama sekali bagi penuntut ilmu.

5. Sekiranya perjuangan kita tersasar jauh dari matlamat asalnya dan tidak mencapai sasaran hendaklah kita kembali ke pangkal jalan dan mencari semula sumbernya yang sebenar.

*?Rujukan:*
Tafsir Al Mishbah & Tafsir Al Quran ‘Abr Al-Athir

Disusun oleh :
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*
_5 Januari 2018_ / _17 Rabiul Akhir 1439_