SURAH AL-KAHFI: GAMBARAN PERISTIWA DI AKHIRAT: 47-49
? Firman Allah SWT serta terjemahannya:
وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ وَتَرَى الأرْضَ بَارِزَةً وَحَشَرْنَاهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا (٤٧)
Dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Kami perjalankan gunung-gunung dan kamu akan dapat melihat bumi itu datar dan Kami kumpulkan seluruh manusia, dan tidak Kami tinggalkan seorang pun daripada mereka.
وَعُرِضُوا عَلَى رَبِّكَ صَفًّا لَقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّنْ نَجْعَلَ لَكُمْ مَوْعِدًا (٤٨)
Dan mereka akan dibawa ke hadapan Tuhanmu dengan berbaris. Sesungguhnya kalian datang kepada Kami, sebagaimana Kami menciptakan kalian pada yang pertama kali; bahkan kalian mengatakan bahawa Kami sekali-kali tidak akan menetapkan bagi kalian waktu (memenuhi) perjanjian.
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلا كَبِيرَةً إِلا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا (٤٩)
Dan diletakkanlah kitab, lalu kalian akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.”
Tafsir ringkas:
1. Allah SWT menceritakan tentang kengerian pada hari kiamat dan semua peristiwa besar yang terjadi di dalamnya. Antara fenomena dahsyat bagi menggambarkan peristiwa tersebut ialah:
i. Gunung-gunung hancur dan lenyap sehingga menjadi dataran, bumi menjadi rata dan datar sama sekali, tidak ada tanah yang tinggi dan yang menonjol, tiada lembah dan bukit. Tiada suatu pun yang boleh dibuat tempat persembunyian, bahkan semua makhluk dibawa ke hadapan Tuhannya.
ii. Seluruh manusia dikumpulkan pada suatu tempat tanpa mengira pangkat dan kedudukan, dalam keadaan berbaris membentuk saf-saf.
iii. Semua manusia akan dihadapkan buku catatan amal perbuatan yang di dalamnya tercatat semua amal dan dosa, tiada suatu dosa kecil atau besar yang tertinggal, dan tiada suatu amal perbuatan sekecil apa pun yang tidak tercatat.
iv. Gambaran ketakutan orang-orang yang bersalah, terhadap apa yang tertulis di dalam buku catatan mereka, takut terhadap amal-amal perbuatan mereka yang buruk dan berasa celaka dan kecewa atas apa yang disia-siakan semasa usia mereka di dunia.
2. Ayat ini juga merupakan teguran terhadap orang-orang yang tidak percaya kepada adanya hari kebangkitan, sekaligus sebagai celaan buat mereka di hadapan seluruh saksi yang ada pada hari itu.
3. Allah SWT kelak akan memutuskan perkara di antara hamba-hamba-Nya terhadap semua amal perbuatan mereka. Allah tidak akan menganiaya seorang pun daripada makhluk-Nya, bahkan Dia pemaaf, mengampuni, dan merahmatinya. Allah hanya mengazab orang yang dikehendaki-Nya dengan kekuasaan-Nya, kebijaksanaan, dan keadilan-Nya. Dan Allah memenuhi neraka dengan orang-orang kafir dan orang-orang yang derhaka. Namun, orang-orang yang derhaka diselamatkan selepas itu, tetapi orang-orang kafir kekal di dalam neraka. Allah adalah Hakim yang tidak melampaui batas, tidak pula berbuat aniaya.
Pengajaran:
1) Orang Islam perlu percaya kepada rukun Iman bahawa akan berlakunya hari kiamat iaitu hari pembalasan.
2) Lakukan amalan dan kebaikan walaupun sebesar zarah kerana setiap perbuatan akan dicatat dan dihadapkan kepada manusia apa yang dilakukan semasa hayatnya. Tidak ada rahsia kerana semua akan dizahirkan walaupun ia tersembunyi dalam hati.
3) Kita hendaklah bertakwa kepada Allah, janganlah melakukan dosa samada dosa kecil mahupun dosa besar.
4) Buatlah amal kebaikan segera kerana di akhirat kita akan berasa kecewa dan menyesal kerana mensiakan hidup di dunia.
Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 1.12. 2017 / 12 Rabiulawal 1439H