Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 13/2017

746
SHARE

SURAH A-KAHFI: KISAH PEMILIK DUA KEBUN: 32-33

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَاضرِب لَهُم مَثَلًا رَجُلَينِ جَعَلنا لِأَحَدِهِما جَنَّتَينِ مِن أَعنابٍ وَحَفَفناهُما بِنَخلٍ وَجَعَلنا بَينَهُما زَرعًا (٣٢)

Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

كِلتَا الجَنَّتَينِ آتَت أُكُلَها وَلَم تَظلِم مِنهُ شَيئًا وَفَجَّرنا خِلالَهُما نَهَرًا (٣٣)

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.

Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat 32, Allah meminta Rasulullah SAW mengambil perbandingan daripada perumpamaan dua orang lelaki bersaudara. Seorang daripadanya kafir dan seorang lagi mukmin.

2. Lelaki yang kafir memiliki dua kebun anggur yang sangat luas. Ini melambangkan kekayaannya kerana anggur adalah sejenis tanaman yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

3. Kedua-dua kebunnya itu dikelilingi oleh pohon kurma seolah-olah sebagai pagar. Kurma juga adalah tanaman yang penting dan dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan. Tambahan pula, jumlah kurma yang dihasilkan daripada dua buah kebun tentulah lebih banyak.

4. Di antara kedua kebun itu pula terdapat pelbagai tanaman seperti sayuran yang dapat diambil hasilnya pada setiap hari.

5. Dalam ayat 33 dijelaskan bahawa tanaman di kebun lelaki kafir itu sangat subur, tidak pernah berkurang bahkan berbuah berlipat kali ganda.

6. Kesuburan tanah itu disebabkan terdapat sebuah sungai mengalir di tengah-tengah kebunnya. Sungai ini mengairi kebunnya sepanjang tahun sehingga kebunnya tidak pernah kekurangan air walaupun pada musim kemarau.

7. Air sungai yang mengalir terus-menerus dengan bunyi air mengalir di celah-celah batu menimbulkan ketenangan dan keindahan kepada pemiliknya.

Pengajaran:

1. Allah menjadikan dua orang lelaki ini sebagai perumpamaan untuk menjelaskan kepada manusia perbezaan antara hamba beriman yang mulia dan hamba kufur yang hina di sisi Allah.

2. Orang kaya berbangga dengan harta benda mereka manakala orang mukmin berbangga dengan ketaatan mereka kepada Allah.

3. Allah menguji orang yang engkar, dengan nikmat dan kesenangan yang banyak tetapi mereka tidak mensyukurinya.

4. Kenikmatan yang Allah berikan menyebabkan sebahagiaan manusia lupa untuk menjadi hamba di sisiNya.

5. Allah menguji sebahagian orang beriman dengan kemiskinan harta, namun mereka kaya dengan nikmat iman serta redha dengan takdir daripada Allah.

6. Rezeki yang Allah beri kepada kita hendaklah digunakan sebahagiannya untuk membantu perjuangan Islam.

Rujukan:
1.Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 27.10.2017 / 7 Safar 1439H