Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 12/2017

802
SHARE

SURAH A-KAHFI:KEBENARAN DARI ALLAH DAN AKIBAT PENENTANGANNYA SERTA GANJARAN KETAATAN: 29-31

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا وَإِن يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا (٢٩)

Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka, sebagai tempat bersenang-senang.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا (٣٠)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sudah tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.

أُولَٰئِكَ لَهُمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّن سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُّتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ نِعْمَ الثَّوَابُ وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا (٣١)

Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang sebaik-baiknya.

Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat 29, Allah swt menyuruh Nabi Muhammad agar mengatakan kepada kaum kafir bahawa kebenaran yang disampaikan datangnya daripada Allah (melalui Al Quran). Maka terpulang atas pilihan merekalah sama ada untuk menerima atau menolaknya. Allah telah menyediakan balasan azab neraka kepada golongan yang menganiaya diri mereka sendiri (mereka yang memilih untuk menolak kebenaran yang datang dari Allah).

2. Dalam ayat ke 30 Allah menyatakan bahawa sesiapa yang beriman dan berusaha melakukan kebaikan, maka Allah memberi jaminan balasan yang baik (iaitu ni’mat syurga) kepada mereka.

3. Dalam ayat seterusnya Allah menjelaskan tentang gambaran nikmat syurga; antaranya air sungai yang mengalir di bawah kediaman mereka, perhiasan seperti gelang-gelang emas, pakaian sutera yang berwarna hijau dan singgahsana yang indah. Syurga adalah sebaik-baik ganjaran dan tempat untuk beristirehat.

Pengajaran:

1. Sebagai manusia, kita diberi kebebasan untuk memilih jalan hidup sendiri sama ada untuk mengikut jalan kebenaran daripada Allah atau memilih jalan yang sesat. Oleh itu, kitalah yang bertanggungjawab terhadap segala akibat daripada pilihan tersebut.

2. Allah juga telah menjelaskan balasan yang akan kita terima daripada setiap pilihan tersebut. Oleh itu, pilihlah jalan kebenaran iaitu dengan beriman dan berbuat kebaikan serta menjauhi segala kejahatan dan maksiat.

3. Sesiapa yang tidak melaksanakan ajaran al-Quran, mereka sebenarnya golongan yang durhaka dan wajar mendapat ancaman dari Allah.

4. Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah yakin bahawasanya ada hari pembalasan, serta adanya syurga dan neraka.

Rujukan:
1.Tafsir Al-Munir oleh Prof.Dr. Wahbah Az-Zuhaili
2. Surah Al Kahfi: Nas wa Tafsir oleh Imran N. Hussain

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 20.10.2017 / 29 Muharram 1439H