Tadabbur Al Quran Siri 08/2017
SURAH AL-KAHFI: AYAT 19-20: PERBUALAN ASHAB AL-KAHFI SETELAH TIDUR YANG PANJANG
Firman Allah SWT serta terjemahannya:
“Dan demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya sesama sendiri. Berkatalah salah seorang di antara mereka, “Sudah berapa lamakah kamu berada (disini)?” Mereka menjawab, Kita berada (disini) sehari atau setengah hari.” Berkata (yang lain lagi), “Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini).” Maka suruhlah salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu.” (19)
”Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melemparmu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian, niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.”(20)
Tafsir ringkas:
1. Dalam ayat 19, Allah menyatakan sebagaimana Dia telah menidurkan mereka (ashab al-kahfi), maka Dia telah bangunkan mereka semula dalam keadaan badan, rambut, dan kulit mereka tetap muda. Mereka tidak berubah sedikit pun daripada keadaan asal walaupun setelah berlalu 309 tahun.
2. Setelah terbangun dari tidur yang panjang itu, mereka saling bertanya sesama sendiri berapa lamakah mereka telah tidur. Ada di antara mereka yang menjawab bahawa mereka telah berada di gua itu sekitar sehari atau setengah hari.Ini kerana mereka memasuki gua pada awal siang hari dan bangun pada akhir siang. Sebahagian yang lain pula berkata bahawa Allah lebih mengetahui apa yang telah dialami. Ini menunjukkan bahawa mereka telah dihinggapi keraguan kerana tidur yang cukup lama.
3. Salah seorang daripada pemuda Ashab Al-Kahfi itu telah disuruh keluar ke pasar untuk membeli makanan. Kemunculan pemuda tersebut di pasar telah menarik perhatian masyarakat kerana caranya berpakaian dan wang yang digunakan untuk membeli makanan amatlah berbeza dengan keadaan matawang pada zaman tersebut. Penduduk negeri itu kemudiannya mengikuti pemuda tersebut pulang ke gua tempatnya bersembunyi.
4. Para pemuda Ashab Al Kahfi sangat takut apabila orang ramai telah mengetahui tempat persembunyian mereka kerana dibimbangi mereka akan disiksa dan dipaksa untuk meninggalkan agama Tauhid. Jika para pemuda itu setuju untuk kembali kepada agama asal mereka, pastilah para pemuda itu tidak akan mendapat keberuntungan, baik di dunia mahupun di akhirat.
Pengajaran:
1. Para pemuda-pemuda yang beriman mestilah mencontohi Ashab Al Kahfi dan menyedari bahawa masa muda adalah masa untuk mengumpulkan kekuatan fikriyah (pemikiran) dan jasadiyah (tubuh badan). Oleh itu, amatlah rugi jika kedua-dua kekuatan tersebut diabaikan oleh para pemuda pada hari ini.
2. Sebelum mereka mengasingkan diri ke gua demi mempertahankan aqidahnya, mereka menggunakan dua kekuatan tersebut demi menegakkan agama tauhid walaupun terpaksa berhadapan dengan penguasa yang zalim.
3. Kepemudaan tidak akan bererti jika tidak ditunjangi dengan iman. Dengan iman yang mantap, pemikiran yang sihat dan tubuh badan kuat, para pemuda yang beriman akan mampu untuk terus mempertahankan agama Islam.
Rujukan:
Tafsir Surah Al-Kahfi (19-20)
Tafsir Al-Azhar (Hamka) (Juzu’ 15)
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 22.9.2017 / 1