Tadabbur Al Quran Siri 05/2017
SURAH AL KAHFI: AYAT 13-15: KEIMANAN ASHABUL KAHFI DAN MEHNAH YANG DIHADAPI
Firman Allah serta terjemahannya:
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata:
“Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”(Mereka berkata pula sesama sendiri):
“Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.
Tafsir ringkas:
1. Dalam ayat ke 13, Allah SWT menyatakan bahawa kisah Ashabul Kahfi ini adalah keterangan yang datang secara langsung dariNya dengan penuh kebenaran. Allah SWT juga menjelaskan bahawa Ashabul Kahfi ini terdiri daripada sekumpulan anak muda yang beriman kepadaNya dan Allah telah menambah lagi kesedaran mereka terhadap jalan yang benar dengan bimbingan dan petunjukNya.
2. Seterusnya, Allah menjelaskan bahawa Dia telah meneguhkan hati dan menyatupadukan pendirian Ashabul Kahfi untuk bangkit menyatakan keimanan mereka kepada Allah walaupun perkara itu amat bertentangan dengan kepercayaan kaum mereka. Mereka tegas untuk tidak mensyirikkan Allah (tidak tunduk kepada kekuasaan selain Allah) dan menolak sebarang pendustaan terhadap Allah. Kesungguhan mereka dalam mempertahankan aqidah dan keimanan terbukti dengan kesanggupan mereka untuk meninggalkan segala kesenangan dan kemewahan hidup.
3. Ashabul Kahfi juga tegas dalam menyatakan pandangan terhadap kesesatan kaum mereka dan menyifatkan perbuatan kaum mereka yang mendustakan Allah sebagai suatu kezaliman (menganiaya diri sendiri kerana meninggalkan kebenaran).
Pengajaran:
1. Pemuda-pemudi Islam mestilah mencontohi Ashabul Kahfi yang gigih mempertahankan keimanan dan aqidah mereka walaupun terpaksa berhadapan dengan kesusahan.
2. Segala usaha yang dilakukan dan kesusahan yang dihadapi untuk mempertahankan kebenaran akan menghasilkan keberkatan daripada Allah, menambah keimanan dan menguatkan kemampuan untuk menahan serangan musuh.
3. Kita hendaklah menolak sebarang bentuk syirik kepada Allah termasuklah ketundukan kepada sistem pemerintahan, perundangan, ekonomi dan sosial yang berasaskan fahaman moden yang bertentangan dengan Syariat seperti sekularisme, kapitalisme, liberalisme dan pluralisme.
Rujukan:
1. Tafsir Al Azhar
2. Surah Al Kahfi: Nas wa Tafsir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 1.9.2017 / 10 Zulhijjah 1438