Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 01/2017

1184
SHARE

Tadabbur Al Quran : Siri 01/2017

Surah Al Kahfi : Ayat 1-3: Al-Quran Sebagai Petunjuk kepada Manusia

Firman Allah Taala serta terjemahannya:

  • Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)
  • Sebagai bimbingan yang lurus; untum memberi amaran akan azab yang berat di sisi Allah dan berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
  • Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.

Tafsir ringkas:

1. Atas sifat kasih sayangNya kepada manusia, Allah telah menurunkan Al-Quran kepada manusia sebagai petunjuk di dunia. Di dalamnya mengandungi semua perkara yang tiada bercanggahan.

2. Al-Quran adalah rujukan pertama; di dalamnya terdapat pengajaran- pengajaran bagi orang yang beriman dan orang ingkar. Orang-orang yang beriman dijamin mendapat kenikmatan dan kesenanangan yang disediakan. Bagi orang-orang yang mengingkari perintah Allah, nerakalah tempat mereka dikembalikan. Neraka merupakan tempat siksaan yang amat pedih. Ini menjadi peringatan kepada manusia kerana mereka akan kekal di dalamnya selamanya.

3. Mereka akan kekal di dalamnya – sama ada kekal di syurga bagi yang beriman, dan kekal di neraka bagi yang ingkar perintah Allah

Pengajaran:

1. Kita hendaklah menjalani kehidupan di dunia berpandukan ajaran Al-Quran.

2. Jadikan Al- Quran rujukan pertama kerana di dalamnya mengandungi semua perkara. Tiada bercanggahan antara setiap hukum di dalamnya.

3. Janganlah kita jadikan dua qiblah; sebahagian perkara merujuk Al-Quran manakala sebahagian perkara yang lain merujuk media sosial ataupun merujuk kepada orang bukan pakar dalam agama Islam ataupun yang paling parah, merujuk orang kafir yang menentang Islam.

4. Hendaklah kita memilih jalan yang diredhai Allah kerana orang yang beriman mendapat jaminan ke syurga. Syurga merupakan tempat yang paling indah dan merupakan sebaik- baik tempat dikembalikan.

5. Hendaklah kita menjauhi larangan Allah kerana dengan kemurkaan Allah, nerakalah tempat kita dikembalikan. Neraka merupakan tempat yang paling dasyat yang mempunyai balasan amat pedih.

6. Hendaklah kita ingat di syurga mahupun di neraka, manusia akan kekal di dalamnya. Oleh itu, kita mesti memilih jalan yang lurus yang akan membawa kita ke syurga. Biarlah berpenat lelah menahan ujian di dunia, kerana janji Allah itu pasti benar.

7. Ayuh sama – samalah jadikan Al-Quran zikir harian agar diri kita tidak leka. Sama- samalah berdoa agar syurgalah tempat kita dikembalikan.

Rujukan: Tafsir Fi Zilal Al Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
Tarikh: 4.8.2017 / 11 Zulqaedah 1438