Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadan : Orang-orang yang Khusyu’

1036
SHARE

?? Tadabbur Ramadan ??
Siri 01 /1439

Surah Al-Baqarah: Ayat 45-46: Orang-Orang yang Khusyu’

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ٤٥
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ٤٦
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya

? Tafsir ringkas

1. Melalui ayat 45 surah Al-Baqarah ini kita diberi pesan agar meminta pertolongan kepada Allah, dengan bersabar dan mengerjakan solat.

2. Bersabar dengan maksud tabah dan teguh hati menghadapi ujian kehidupan. Orang yang jiwanya bersatu antara sabar dan solat, membuahkan hati jernih dan jiwa besar. Ini membuatkan dirinya tidak mudah tergugah oleh perkara kecil dan remeh (yang mungkin memberi kesan kepada orang yang lain).

3. Selanjutnya ayat ini menyatakan; solat itu berat (susah) untuk dikerjakan, kecuali bagi mereka yang khusyu’. Khusyu’ bererti tunduk, rendah hati dan insaf bahawa dirinya adalah hamba Allah.

4. Siapakah orang yang khusyu’? Itulah orang-orang yang yakin dengan sungguh, bahawa mereka datang ke dunia atas kehendak Allah , dan akan kembali ke akhirat bertemu dengan Allah.

? Pengajaran

1. Sifat hamba yang lemah sentiasa memerlukan pertolongan. Maka mintalah pertolongan Allah dengan bersabar dan bersolat.

2. Sabar dan solat adalah alat pengukuh peribadi muslim sehingga lahir jiwa yang khusyu’.

3. Ujian dalam hidup ada kalanya terasa amat berat, sakit, susah dan tidak tertanggung. Bagaimanapun, setelah ia berlalu, barulah diketahui ujian yang dihadapi itu membawa pula ni’mat yang besar kepada kita.

4. Kita mesti sedar, Allah cinta dan kasih kepada kita. Ni’matNya lebih banyak daripada ujianNya. Masa hidup kita dalam keadaan menerima ni’mat lebih banyak daripada masa kita menerima ujian yang sukar.

5. Salah satu cara untuk mendapat solat yang khusyu’ ialah sedar dan tahu bahawa kita sedang berjumpa dan sedang berhadapan dengan Zat yang sedang disembah iaitu Allah SWT. Sudah tentu pertemuan itu satu yang sangat besar dan bermakna bagi seorang hamba untuk disedari dengan sepenuh jiwa dan hati.

? Rujukan: Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
17 Mei 2018 / 1 Ramadhan 1439