Home Berita PAS Perlis

Taawun: Beri Kepercayaan Kepada Pimpinan

1380
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Percaturan politik yang berlaku dalam situasi politik tidak menentu mutakhir ini memerlukan kepada strategi yang bijak oleh kepimpinan PAS serta imuniti yang kukuh para pendokongnya, demikian dinyatakan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed.

Menurutnya, landskap politik Malaysia pada hari ini sebenarnya membuka ruang serta peluang yang besar kepada PAS untuk menjulang agenda Islam kerana kegagalan kerajaan PH dalam menentukan halatuju pemerintahan negara telah menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat akan kemampuan serta masa depan pakatan tersebut.

Ujarnya lagi, disokong dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap PAS terus meningkat manakala semakin banyak pihak tampil menyatakan kesediaan bekerjasama dengan parti Islam tersebut.

“Barisan Kabinet kerajaan PH yang kurang berpengalaman menyebabkan mereka tercari-cari formula yang sesuai dalam memulihkan kerosakan negara seperti yang didakwakan.

“Oleh itu, menerusi pendekatan BPMS, PAS diyakini berupaya memainkan peranan yang penting untuk menerajui gagasan pembangkang yang konstruktif dalam usaha mendaulatkan agenda Islam dan menyelamatkan negara,” jelasnya ketika membentangkan kertas kerja dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden dan Himpunan Jentera Pilihanraya PAS Perlis di sini semalam.

Mengulas lanjut di hadapan lebih 600 orang peserta yang hadir, beliau mendedahkan wujudnya percaturan politik yang amat kronik antara parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan yang menurutnya menjadi antara punca yang menyebabkan pakatan tersebut dilihat amat rapuh manakala kerajaan yang ada pada hari ini begitu lemah dan tidak meyakinkan.

Justeru beliau mengingatkan semua ahli PAS agar meletakkan ketaatan serta kepercayaan kepada kepimpinan parti dalam merangka serta melaksanakan segala bentuk strategi yang difikirkan terbaik termasuklah dalam konteks mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak yang lain, dalam mendepani senario politik seperti yang berlaku pada hari ini.

“Dengan kepercayaan bahawa dasar dan matlamat perjuangan PAS tidak akan sama sekali digadaikan oleh pucuk pimpinan, PAS berupaya menjadi parti yang terkuat pada masa terdekat,” katanya.