Home Berita PAS Pusat

Syed Sheikh Al-Hadi: Membangunkan Umat Yang Tertidur

5125
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441

Siri 15
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

SYED SHEIKH AL-HADI: MEMBANGUNKAN UMAT YANG TERTIDUR


PENJAHAHAN Inggeris di Tanah Melayu sejak 1786M, walaupun secara berperingkat, telah memberi kesan yang buruk kepada umat Melayu Islam di negara ini. Penjajahan oleh Portugis (1511-1641M), Belanda (1641-1824M) dan Inggeris sejak 1786M telah membuatkan orang Melayu berasa ‘rendah diri’ (inferior) dan terlalai dalam keseronokan kehidupan dunia yang disajikan oleh penjajah, sehingga mereka membiarkan sahaja pertiwi mereka dijajah, harta kekayaan negara dirompak dan diri mereka diperhambakan. Orang Melayu juga terjerat dalam kekolotan pemikiran tahyul dan falsafah yang direka-reka seperti “kalau rezeki secupak, takkan jadi segantang.” Sedangkan dalam hal agama, mereka terjerumus dalam kejumudan kerana menutup pintu ijtihad dan perkembangan pemikiran.

Keadaan ini mewarnai kehidupan umum orang Melayu, walaupun terdapat ulamak dan pejuang yang sentiasa bangkit pada setiap zaman. Budaya fuedal yang sangat bergantung kepada raja-raja membuatkan orang Melayu seperti tidak mahu melangkah untuk memperbaiki diri, keluar dari kelemahan dan mencapai kemajuan. Inilah isu-isu yang berlegar dalam pemikiran para pembaharu Islam sejak akhir abad ke-19M. Ketika Syed Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Mohammed Abduh membawa gagasan-gagasan baru di Mesir untuk memupuk semula kesedaran umat Islam, di Tanah Melayu telah bangkit beberapa ulamak yang menjadi pelopor kepada kebangkitan ini, antaranya ialah Raja Ali Kelana, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Abbas Taha dan lain-lain.

Pada akhir abad ke-19M, lahir sekelompok ulamak yang terdedah dengan pemikiran-pemikiran baru di Asia Barat, sama ada yang belajar di Mekah mahupun di Mesir, bahkan di India dan Indonesia juga. Abad ke-18M dan 19M boleh dikatakan abad kelahiran mujaddid (pembaharu) setelah umat Islam mengalami kelemahan dan kemerosotan sejak abad ke-15M. Tokoh-tokoh pembaharu seperti Syah Waliyullah al-Dehlawi dari India, Syed Jamaluddin al-Afghani dari Afhhanistan, Sheikh Mohammed Abduh dari Mesir adalah sebahagian dari pembaharu tersebut, selain Sheikh Wan Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khatib al-Minangkabauwi dari kalangan orang Melayu. Fikiran-fikiran dan gagasan merekalah yang menyerap masuk ke dalam jiwa ulamak-ulamak muda di Tanah Melayu.

Membangunkan Umat Yang Tidur

Kepulangan mereka ke Nusantara pada akhir abad ke-19M telah menggegarkan politik negara. Pemikiran-pemikiran mereka segera dilabelkan sebagai “Kaum Muda” yang hendak memecahkan bangsa. Padahal sebenarnya mereka sedang memperkatakan hal keadaan umat Islam yang kolot, tidak berkembang dan tidak mahu membina kembali kekuatan. Mereka mahu mengajak umat Islam supaya segera bangkit dan kembalikan kemuliaan umat. Kerana itulah berlaku pertembungan besar antara aliran baru ini dengan aliran tradisional (yang diungkapkan sebagai Kaum Tua). Ia sebenarnya bukan perselisihan fiqh atau perbalahan ilmu kalam, tetapi tentang pemikiran baru atau kekal dalam kekolotan. Di atas usaha mereka, akhirnya umat yang sedang tidur mulai bangun untuk membina semula jati diri mereka.

Antara langkah penting yang dibuat dalam usaha pembaharuan ini ialah melalui penulisan, penerbitan akhbar, pembaharuan sistem pendidikan dan gerakan organisasi. Para ulamak seperti Raja Ali Kelana, Sheikh Tahir, Tok Kenali, Syed Sheikh al-Hadi dan lain-lain telah menghasilkan pelbagai penulisan yang bukan hanya untuk memberi ilmu, tetapi juga menggerakkan pemikiran umat. Sekolah-sekolah moden yang disebut madrasah dibina di seluruh negara, bukan untuk bersaing dengan pondok-pondok tetapi untuk memberi nafas baru kepada pendidikan Islam. Yang paling penting ialah peranan akhbar-akhbar dan majalah yang membawa gagasan-gagasan pembaharuan pemikiran Islam. Kebangkitan ini turut didukung oleh tokoh-tokoh bukan ulamak seperti Za’ba, A Kadir Adabi dan lain-lain, sehingga menyebabkan kesedaran ini melata.

Syed Sheikh Membangun Kesedaran Umat

Syed Sheikh bin Ahmad bin Hassan bin Saqqaf al-Hadi adalah seorang tokoh pembaharu yang terkemuka di negara ini. Beliau dilahirkan di Kampung Hulu, Melaka pada 25 Disember 1864M, tetapi dibesarkan di Riau kerana telah diambil sebagai anak angkat oleh Raja Ali Kelana. Beliau membesar di dalam Istana Riau-Lingga di Pulau Penyengat setelah menamatkan pendidikan asas di Melaka. Di Pulau Penyengat, beliau dididik di istana oleh ulamak-ulamak istana sebelum dihantar ke Terengganu untuk belajar di pondok. Beliau yang tidak suka dengan sistem pendidikan pondok, telah kembali ke Riau dan belajar dengan Raja Ali Kelana sendiri dalam pelbagai ilmu. Beliau juga mula membaca pelbagai akhbar dalam bahasa Melayu dan Arab. Pada 1894M, beliau telah mengikuti Raja Ali Kelana pergi Mesir dan Mekah. Di sinilah beliau sempat berguru dengan ulamak Mesir, selain Sheikh Wan Ahmad al-Fathani di Mekah.

Idea-idea pembaharuan telah terdedah secara meluas selama tempoh dua tahun berada di Mesir. Beliau sempat berguru sendiri dengan Sheikh Mohammed Abduh dan berkenalan dengan Sheikh Tahir Jalaluddin yang belajar di Universiti al-Azhar ketika itu. Di Mekah pula, beliau sempat bertemu dengan Sheikh Wan Ahmad dan Sheikh Ahmad Khatib. Beliau sangat terpengaruh dengan pemikiran gurunya, Sheikh Mohammed Abduh, sehingga beliau mencurahkan pemikirannya melalui majalah al-Imam, al-Ikhwan dan Saudara. Sedangkan Sheikh Wan Ahmad mempengaruhinya dari segi pergerakan politik Islam, penerbitan dan pendidikan. Melalui saluran-saluran inilah beliau mengembangkan gagasan pembaruan Islam sejak daripada beliau pulang dari Mesir hingga wafatnya pada 20 Februari 1934M.

Perjuangan Syed Sheikh al-Hadi Untuk Membangunkan Umat

Peranan besar Syed Sheikh al-Hadi sebagai seorang pembaharu Islam telah berkembang sejak awal tahun 1900M sehingga beliau wafat pada 1934M, namun kesannya merebak sehinga kesedaran tersebut membawa kepada perjuangan kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua. Peranan ini memang diakui oleh banyak sarjana yang mengkaji tentang asal mula kebangkitan nasionalisme Melayu. Pengkaji seperti William R. Roff, Abu Bakar Hamzah, Abdul Aziz Mat Tom, Sarim Mustajab dan lain-lain mengatakan kejayaan Syed Sheikh al-Hadi dan rakan-rakannya menerbitkan majalah al-Imam pada 1906M merupakan permulaan bagi kesedaran tersebut. Secara umum, peranan Syed Sheikh al-Hadi dapat dilihat dalam aspek-aspek berikut:

1. Pergerakan Islam

Beliau yang terlibat dengan Jam’iyat al-Fathaniyah di Mekah telah mengasaskan Jam’iyat ar-Rusyidiyah di Pulau Penyengat pada 1880M. Jam’iyat ini dipimpin oleh Raja Ali Kelana, mana kala Syed Sheikh al-Hadi sebagai setiausahanya. Selepas itu, beliau terlibat juga dengan penubuhan Jam’iyat al-Khairiyah yang ditubuhkan oleh Raja Ali Kelana beberapa tahun kemudian. Ketika berada di Pulau Pinang dan memimpin akhbar Saudara, beliau telah mewujudkan kelab pembaca akhbar tersebut yang dikenali sebagai Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) yang ditubuhkan pada 7 April 1934M. Beliau tidak sempat aktif, tetapi legasi yang ditinggalkan ini menjadi persatuan pertama bertaraf nasional di Tanah Melayu dengan 12,000 ahli, dan mempunyai cawangan hingga ke Labuan, Sabah dan Sarawak. PASPAM telah bersidang di Taiping (1934M), Kuala Lumpur (1935M), Pulau Pinang (1936M), Singapura (1937M), Ipoh (1938M) dan Seremban (1939M).

2. Pendidikan

Syed Sheikh al-Hadi terkenal kerana menjadi antara orang terawal membuka sekolah agama dalam sistem madrasah di Tanah Melayu. Beliau mengasaskan Madrasah al-Iqbal di Singapura pada 1907M tetapi kurang berjaya, kemudian Madrasah al-Hadi di Melaka pada 1916, juga gagal. Namun, kerana berkat usahanya, beliau membuka Madrasah al-Mashoor di Pulau Pinang pada 1919M. Madrasah al-Mashoor bukan sahaja muncul sebagai sekolah yang terkenal, bahkan berjaya melahirkan ramai tokoh penting negara, termasuk Dr Burhanuddin al-Helmy.

3. Penerbitan akhbar

Syed Sheikh al-Hadi mencipta nama besar kerana menerbitkan majalah al-Imam pada 1906M bersama Raja Ali Kelana, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Salim al-Khalali dan Sheikh Abbas Taha. Walaupun akhbar ini hanya bertahan sehingga 1908M sahaja, mottonya untuk “membangunkan sesiapa yang tidur” telah benar-benar memberi pengaruh kepada orang Melayu di Tanah Melayu dan kepulauan Indonesia. Pada 1926M, beliau menerbitkan pula akhbar al-Ikhwan, sebelum menerbitkan akhbar Saudara pada 1928M. Beliau bertindak sebagai pengarang al-Ikhwan dan juga Saudara. Selepas kewafatannya, Saudara terus berperanan mengemban kesedaran rakyat sehingga pecah Perang Dunia Kedua.

4. Penulisan buku-buku

Bakat Syed Sheikh al-Hadi dalam penulisan telah membolehkan beliau menghasilkan buku-buku agama, novel roman dan cerita Rokambul. Antara buku agama beliau yang terkenal ialah Tafsir Juz Amma, at-Tarikh al-Islami dan Ugama Islam dan Akal, mana kala novel Hikayat Faridah Hanumnya pula menjadi yang paling laris dalam genre novel roman, di samping enam buah cerita Rokambul. Buku-buku ini membawa tema pembaharuan pemikiran seperti emansipasi wanita yang diketengahkan oleh Hikayat Faridah Hanum.

Empat aspek penglibatan Syed Sheikh al-Hadi ini telah memberikan sumbangan besar terhadap kesedaran Islam dan semangat kebangsaan kepada orang Melayu. Fikiran-fikiran baru yang diketengahkan berjaya membuka minda orang Melayu yang akhirnya menyebabkan mereka bangkit dan dapat mengeluarkan diri daripada kongkongan penjajahan, kemiskinan dan kejumudan pemikiran. Ketika kewafatannya pada awal 1934M, sebenarnya arus kesedaran politik, ekonomi dan agama orang Melayu sudah membesar dan telah membentuk pergerakan. Namun begitu, pada usianya yang mencecah 71 tahun, Syed Sheikh al-Hadi terpaksa menerima hakikat bahawa beliau tidak lagi dapat bersana arus kesedaran yang dipeloporinya sejak awal 1900M.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
15 Ramadhan 1441 / 8 Mei 2020