Home Berita PAS Selangor

Syahir Sulaiman Kongsi Formula Remaja Berjaya

2951
SHARE

Oleh : Wan Nur Aziezan Baharudin

BANGI, 30 Mac 2019 – “Remaja perlu kurangkan atau elakkan diri daripada terjebak dengan hiburan melampau dan pengaruh media sosial jika ingin berjaya”. Ujar Saudara Mohd Syahir bin Che Sulaiman yang merupakan Setiausaha Politik Presiden PAS ketika memberi pengisian dalam Seminar Kecemerlangan Akademik, Program Tarbiyyah Anak PAS (PROTAPAS) di Dewan D’Mawaddah, Bangi hari ini.

Beliau yang merupakan lulusan Sarjana Pengajian Pembangunan (Master of Development Studies) dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut membuka minda peserta program supaya mereka mampu berjiwa besar dan memikirkan wawasan yang tinggi agar dapat memberi kebaikan pada ummah.

Penerima Anugerah Rektor UIAM ini juga telah berkongsi formula IBU sekiranya remaja mahu berjaya dengan cemerlang di dunia dan akhirat

“Adik-adik perlu memikirkan wawasan yang tinggi dan terbuka.
Contohnya jika adik-adik menjadi jurutera, apa sumbangan yang boleh adik-adik berikan supaya semua ummah dapat merasa manfaat ilmu jurutera yang adik-adik ada.

 

“Saya juga ingin kongsikan formula IBU ini untuk adik-adik berjaya. Ikhlas, Berkat dan Usaha. Amalkan selalu formula ini, InsyaAllah adik-adik akan nampak perubahan dalam kehidupan dan kejayaan akan datang kepada adik-adik”.

Selain itu, beliau turut menyarankan para peserta supaya mengamalkan makanan yang bagus untuk pembelajaran mengikut para ulama.

“Makanlah makanan sunnah seperti kismis, kurma dan madu. Bunga cengkih juga jangan dilupakan kerana inilah antara makanan yang disebut dalam kitab-kitab karangan ulama kita bahawa ia adalah makanan yang bagus untuk minda”.

Anak-anak ahli PAS yang hadir dalam seminar kali ini turut didedahkan dengan ilmu asas robotik dan diberi peluang untuk membuat praktikal dan demonstrasi menggerakkan robot.

Kebanyakan remaja yang berusia 13 hingga 17 tahun yang hadir ini juga telah memberikan maklum balas positif dan bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan membaiki diri supaya mampu menjadi manusia yang bermanfaat pada agama, bangsa dan tanah air