Home Kenyataan Media PAS Wilayah

SURAU BERGERAK INISIATIF DBKL MEMBENTUK PERIBADI MUSLIM MENJAGA SOLAT

43
SHARE

Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menyambut baik inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengubah suai satu unit pejabat bergeraknya sebagai surau bergerak. Difahamkan, surau bergerak menggunakan lori seberat 10 tan itu dilengkapi dengan penghawa dingin serta tempat wuduk dengan kapasiti tangki air 900 liter yang mampu menampung keperluan 600 jemaah.

Surau bergerak ini boleh memuatkan 10 jemaah lelaki dan wanita sementara 20 jemaah lelaki lagi bagi ruang solat di bahagian luar lori. Kemudahan ini bakal memberi manfaat kepada pengunjung melibatkan program ad hoc seperti maraton dan sambutan Hari Kebangsaan. Surau bergerak ini diparkir di kawasan tumpuan orang ramai seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang ditutup kepada kenderaan pada setiap Ahad.

Bagi DUPWP, usaha ini adalah langkah positif bagi menggalakkan umat Islam menjaga ibadah solat yang menjadi kefardhuan kepada umat Islam. Dengan kemudahan ini, ia memberi keselesaan kepada umat Islam mendirikan solat di Kuala Lumpur dan tidak ada alasan bagi warga Kuala Lumpur meninggalkannya. Ia juga sebagai simbolik bahawa Kuala Lumpur adalah destinasi mesra ibadah, tumpuan bagi golongan yang baik dan soleh, mengajak kepada yang maaruf dan mencegah dari perbuatan mungkar. Kuala Lumpur bukan lokasi untuk melakukan maksiat dan kemungkaran, golongan yang suka membuang masa, melakukan jenayah dan lain-lain kesalahan.

Apa yang utama, kempen mengajak umat Islam mendirikan solat perlu disemai dalam masyarakat di mana sahaja kita berada. Solat tidak semestinya di surau, masjid, perlu pakaian tertentu, suasana tertentu, tetapi ia mesti ditunaikan dalam apa juga keadaan, dengan syarat menepati syarak. Mendirikan solat bukanlah sesuatu yang sukar dan berat bagi umat Islam, tetapi ia sangat praktikal, mudah dan ringan. Yang penting, umat Islam memandang berat mengenai solat dan berusaha menunaikannya walau dalam apa juga keadaan.

DUPWP juga menyeru agar kemudahan seperti ini diperbanyakkan di sekitar Kuala Lumpur terutama di lokasi pusat membeli belah agar memberi kemudahan lebih ramai umat Islam menggunakannya. Kami yakin, umat Islam mengimpikan agar Kuala Lumpur bukan sahaja membangun dari segi kemajuan teknologi, bangunan pencakar langitnya, ekonomi yang rancak dan industri yang pesat, namun ia juga berjaya membangunkan hati insan yang mendiaminya.

 

USTAZ MD ALI JAMIL

Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan