Home Artikel PAS Wilayah

Sungai dipenuhi sampah punca banjir

312
SHARE

Oleh: MUHAMMAD HAKIM AL-HASHIMI

WANGSA MAJU: Sistem perparitan yang dipenuhi sampah sarap dan tidak diselenggara di Sungai Kampung Setia Jaya, di sini, menyebabkan penduduk terutamanya mereka yang tinggal berhampiran sungai tersebut hidup dalam kegusaran.

Timbalan Pengerusi Majlis Persatuan Penduduk Zon Wangsa Maju (MPPWP WM) yang juga adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud berkata, sungai yang sepatutnya berfungsi sebagai pencegah banjir tersumbat akibat penduduk membuang sampah sesuka hati selain keadaan sistem perparitan yang tidak diselenggara.

“Tahap kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat amat diperlukan untuk memupuk rasa cinta dan keprihatinan terhadap usaha menjaga kebersihan sungai kita. Hanya dengan ini, usaha memulihkan sungai akan berkesan,” ulasnya ketika hadir sendiri memantau sungai berkenaan bersama wakil MPPWP WM, Azhar Omar.

“Kalau dilihat, keadaan sungai ini juga berbau busuk dan mungkin tercemar kerana pembuangan sisa kumbahan dan sampah di buang ke dalam sungai sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” ujar Abang Ali, 60, salah seorang penduduk di sini.

Penduduk kampung berkenaan seterusnya mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan mengambil tindakan serius untuk menangani pembuangan sampah dan sisa kumbahan yang dipercayai berpunca daripada sikap acuh tak acuh segelintir penduduk dan mencadangkan pembinaan tangki septik untuk pembuangan sisa kumbahan serta membekalkan tong sampah besar bagi mengelakkan pembuangan sampah ke dalam sungai.

MPPWP WM komited membawa perkara ini kepada DBKL dan JAS Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan jalan penyelesaian terhadap isu sungai di Kampung Setia Jaya ini selain masalah jalan di kampung ini yang rosak dan berlubang.