Home Artikel PAS Perlis

Sumbangan Palestin: Pemuda PAS Perlis bidas Syed Saddiq

482
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 15 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis hari ini membidas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempersoalkan tindakan PAS menggunakan akaun bank parti berkenaan untuk menerima dana dan sumbangan kemanusiaan buat rakyat Palestin.

Ketua Penerangannya, Haziq Asyraf Dun berkata, tindakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendedahkan kedangkalan beliau dalam memahami kaedah yang digunapakai oleh parti berkenaan dalam melaksanakan aktiviti ‘crowdfunding’ selama ini.

“Sudah kebiasaan bagi PAS melakukan crowdfunding sesama ahli dan tidak menjadi masalah jika setiap parti politik berlumba-lumba memohon sumbangan kepada ahli parti masing-masing.

“Usahlah menyebarkan hasad dan persepsi buruk, sebaliknya ayuh sama-sama berlumba mengumpul sumbangan sebanyak mungkin untuk Palestin,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Haziq merujuk kepada tindakan Syed Saddiq memuatnaik poster dana jihad Palestin yang dikeluarkan PAS Negeri Perlis menerusi ciapan Twitternya, yang seolah-olah cuba mewujudkan persepsi buruk terhadap tindakan PAS negeri ini menggunakan akaun parti untuk mengutip sumbangan Palestin.

Dakwa Syed Saddiq, parti politik tidak perlu menjadi orang tengah, sebaliknya orang ramai ingin menyalurkan bantuan kewangan boleh berbuat demikian melalui pertubuhan-pertubuhan sedia ada yang mendapat pengiktirafan.

“Poster sumbangan derma jihad Palestin PAS Negeri Perlis adalah khusus kepada ahli PAS di negeri ini.

“Jika ada yang ingin menyumbang dan merasa yakin, terpulanglah kepada mereka untuk menyumbang dan dengan rasa ikhlas hari serta tiada paksaan,” jelas Haziq lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad dalam kenyataan di laman Facebooknya turut mempersoalkan tindakan pihak yang cuba mempolitikkan isu kutipan derma parti berkenaan.

“Kita bantu Palestin pun hendak berpolitik juga. Apa jenis manusia. Zionis dia bukan kira awak parti apa, faham tak,” katanya dipercayai ditujukan kepada pihak-pihak yang meragui ketelusan usaha PAS.