Oleh: Azahari bin Ishak
Tasek Gelugor: Bakti dan khidmat yang ditabur oleh Cikgu Norshalifah Binti Mat Rhadzi dalam mendidik anak-anak di PASTI Kamalul Hidayah, Taman Desa Sena tidak akan dilupakan begitu sahaja oleh ramai penggerak masyarakat dan penduduk di sini. Beliau baru sahaja diserang penyakit dipercayai berkaitan saraf yang telah menyebabkan pergerakan beliau terbatas sejak 2 minggu yang lalu.
Justeru, PAS Tasek Gelugor telah menziarahi beliau di dalam rombongan yang diketuai oleh Naib YDP, Hj Rizal Hafiz bin Ruslan pada program ziarah di Kampung Permatang Tok Bidan, dekat sini, pagi ini. Rombongan tersebut turut disertai ajk Lajnah Kebajikan Tasek Gelugor, Azahari Ishak dan Muhamad Hakim Mohd Dzulkifli, sempat melawat rumah Cikgu Norshalifah Binti Mat Rhadzi, 32, yang terlantar sejak diserang penyakit tersebut.
“Mohon doa dari semua semoga Cikgu Shalifah akan kembali sihat dan menyambung tugasan di PASTI Kamalul Hidayah di sini,” katanya.
Turut hadir di dalam kunjungan tersebut ialah Ustaz Ahmad Azfar yang mewakili Al-Azhar Care, yang telah membuat serahan sebuah kerusi roda kepada Cikgu Shalifah. Beliau yang tersentuh hati melihat keadaan Cikgu Shalifah turut memberikan kata-kata semangat kepada beliau serta menasihatkan ahli keluarganya supaya memberikan rawatan fisio bagi memastikannya beliau akan dapat bergerak semula, selain merujuknya ke hospital bagi mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
Cikgu Shalifah mempunyai 3 orang anak yang masih bersekolah dan suami bekerja di sebuah kilang yang berdekatan. Buat masa sekarang, beliau tinggal bersama keluarga mertua kerana jarak tempat tinggal ibu bapa beliau yang agak jauh.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada PAS Kawasan Tasek Gelugor melalui :
Akaun Bank Islam: 070-430-10005905.