Oleh: Thia Razali
21 Februari 2021
BATU: Sumbangan kepada masyarakat Cina di Parlimen Batu diteruskan lagi dengan serahan bantuan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2, kelmarin.
Lebih 40 buah keluarga yang terdiri daripada masyarakat Cina dari kumpulan B40 telah menerima sumbangan beras sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Majlis agihan beras yang bertempat di Dewan Masyarakat Taman Dato’ Senu itu telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Azhar Yahya.
Sumbangan beras kepada golongan B40 di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ini akan diteruskan lagi secara berperingkat bagi memastikan kumpulan tersebut mendapat manfaat sebaiknya dari program MyBeras@Wilayah ini.
Turut serta dalam program berkenaan adalah Pengerusi MPP Sub Zon 2, Abu Bakar Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi MPP Sub Zon 2, Badrol Hisham Ismail, Pengerusi Persatuan Penduduk Sentul Jaya, Ahmad Nasir Baba, Pengerusi Kelab Rukun Tertangga (KRT) Sentul Jaya, Halili Busu serta beberapa orang jawatankuasa MPP yang lain.