Oleh MUHAMMAD HADI
ARAU, 27 Mei: Yayasan Pendidikan Islam Ibnu Aqil hari ini memperkenalkan satu lagi kaedah yang akan memudahkan para penyumbang untuk menyalurkan sumbangan mereka untuk dana Kompleks Pendidikan Islam Ibnu Aqil (KPIA).
Menurut pengerusinya Russele Eizan, para penyumbang kini boleh menggunakan perkhidmatan pindah wang elektronik DuitNow untuk tujuan berkenaan.
“Pihak yayasan berharap dengan adanya kaedah terbaharu ini akan menarik lebih ramai penyumbang untuk tampil memberikan sumbangan kepada Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil yang kini telah memasuki fasa kedua pembinaannya.
“InsyaAllah, kompleks berkenaan apabila siap nanti bakal menjadi sebuah institusi pengajian Islam bersepadu yang menawarkan sistem pendidikan tahfiz dan arus perdana selain menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan PAS negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.
Idea penubuhan KPIA dicetuskan sendiri oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin yang turut mewakafkan sebahagian tanah miliknya seluas tiga ekar di Kampung Kubang Siput dekat sini.
Pelan pembinaan kompleks berkenaan merangkumi sebuah musolla, maahad tahfiz, sekolah rendah Islam (SRI), kuarters guru dan juga pondok moden.