Home Berita PAS Terengganu

Sultan Terengganu titah kerajaan rangka strategi pulihkan ekonomi negeri

53
SHARE

KUALA TERENGGANU, 13 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kerajaan negeri merangka dan bersedia melaksanakan pelbagai strategi pemulihan yang berkesan serta komprhensif bagi memulihkan ekonomi negeri.

Baginda bertitah, sejumlah peruntukkan RM2.01 bilion pada tahun 2021 telah dibelanjakan untuk pembangunan pengurusan negeri yang mana sebanyak RM 635.32 juta bagi membiayai projek-projek pembangunan, manakala RM1.35 bilion adalah untuk mengurus.

“Beta berharap dalam belanjawan tahun-tahun yang akan datang, kerajaan negeri memberikan fokus kepada perbelanjaan untuk pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri.

“Projek-projek pembangunan perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi dan keperluan jangka masa panjang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian melalui perutusan yang dibaca Menteri Besar, Dato” Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.

Dalam pada itu, Baginda menyambut baik usaha dilakukan kerajaan negeri dalam menangani permasalah bekalan air dengan meningkatkan fasiliti pengeluaran air bersih agar gangguan bekalan berkenaan terutama di musim perayaan dapat dielakkan.

Sultan Mizan turut bertitah supaya setiap Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) bertanggungjawab untuk mencorakkan Terengganu ke arah sebuah negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera sebagaimana yang dihasratkan selama ini.

“Oleh yang demikian, sepanjang sidang ini berlangsung, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan ilmiah atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama.

“Beta juga ingin mengingatkan supaya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri terus dipatuhi dan dipertahankan.

“Beta yakin negeri dan rakyat akan terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup, sekiranya sikap hormat menghormati dan mematuhi undang-undang dijadikan dasar utama.

“Akhirnya, Beta berdoa kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar bersama Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan, serta kerjasama padu daripada jentera pentadbiran awam, akan mendapat petunjuk dan bimbingan ilahi bagi menyempurnakan tanggungjawab dan amanah, secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, amanah lagi berintegriti,” titah Baginda lagi.