Home Berita PAS Terengganu

Sultan Terengganu santuni warga istimewa dan fakir miskin

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-63, yang berlangsung penuh istiadat di Dewan Santapan, Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Seri Setia Mahkota Raja Tengku Dato’ Seri Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin dalam suasana penuh tertib dan kasih rakyat.

Majlis tersebut turut diserikan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.

Pada majlis tersebut, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima, menerima limpah kurnia baginda meliputi 200 warga istimewa daripada pelbagai kategori OKU di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 100 ibu tunggal yang diselaras Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan 100 fakir miskin di bawah penyelarasan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM500 seorang, sebagai tanda kasih dan keprihatinan seorang raja terhadap golongan yang memerlukan perlindungan dan perhatian.