Home Artikel PAS Perak

Sultan Perak, Berkenan Merasmikan Bangunan Arkib Negara, Negeri Perak | Info Negeri Perak

262
SHARE
SULTAN PERAK, BERKENAN MERASMIKAN BANGUNAN ARKIB NEGARA, NEGERI PERAK.
MERU, 1 Oktober 2020 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat merasmikan Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak di sini hari ini.
Baginda menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyediakan peruntukkan membina Bangunan Arkib di negeri Perak dalam usaha memelihara khazanah negara khususnya khazanah negeri itu.
“Arkib bererti rekod yang dipelihara bagi nilai kebangsaan atau sejarahnya yang kekal dan lama bertahan, bahan-bahan yang disimpan di dalam arkib mempunyai ciri-ciri kesahihan, keandalan, keutuhan dan kebolehgunaan, meletakkan status bahan-bahan tersebut sebagai bahan bukti yang dapat dipertahankan ketepatan dan kebenarannya.
“Oleh itu, merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromi,” titah baginda.
Baginda Sultan Perak turut bertitah, bahan arkib perlu dipelihara sebaiknya kerana kehilangan bahan tersebut amat merugikan berikutan rekod sejarah lengkap yang dipelihara mampu membantu negara mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan negara.
“Kejayaan Malaysia memenangi kes tuntutan Pulau Sipadan-Litigan pada tahun 2002, disebabkan negara memiliki bukti bahan arkib yang kukuh, sementara kegagalan mempertahankan hak milik tuntutan Pulau Batu Putih pada 2008, disebabkan kekurangan bahan arkib sebagai sumber utama pembuktian kes,” titah baginda lagi.
Tegas baginda, arkib kini beralih daripada penyimpan rekod kepada pembekal maklumat untuk masyarakat.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Arkib Negara Malaysia akan dapat memberi perkhidmatan kearkiban lebih baik dan berkesan khususnya kepada jabatan-jabatan kerajaan di Negeri Perak dengan terbinanya bangunan itu.
“Tumpuan akan diberikan kepada aspek pengurusan rekod serta membantu orang ramai yang memerlukan khidmat kepakaran dan maklumat sejarah negeri Perak.
“Arkib Negara Malaysia juga akan memainkan peranan dalam proses pembudayaan pelbagai bidang ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis perasmian, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, YB Dato’ Nolee Ashilin Datuk Mohammed Radzi, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abdul Aziz serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Cawangan Arkib Negara Negeri Perak telah ditubuhkan sejak 27 tahun lalu dan beroperasi di Bangunan Seri Kinta, Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh sebelum beroperasi sepenuhnya di bangunan baharu yang terletak di Persiaran Meru Utama, Ipoh.
Antara kemudahan yang boleh didapati termasuk Khidmat Nasihat Pengurusan Rekod, Latihan Pengurusan Rekod dan Kemudahan Penyelidikan kepada orang awam.
Sumber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]