KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar Tabung Khairat Zainal Abidin dijenamakan semula sebagai langkah memperkukuh sumber kewangan institusi pendidikan Islam di bawah naungan baginda.
“Beta akan memberikan perhatian khusus agar kemudahan infrastruktur asas dan teknologi terkini di madrasah ini sesuai dengan legasi keprihatinan Sultan Zainal Abidin ke-3 kepada ilmu dan pendidikan.
“Beta ingin mencadangkan agar khairat Zainal Abidin dijenamakan semula menggabungkan instrumen wakaf, endowmen dan sedekah bagi memastikan institusi-institusi agama dibawah kerajaan beta terus berkembang maju,” titah baginda.
Baginda turut menekankan kepentingan kesinambungan permuafakatan antara pihak istana, pentadbir dan rakyat dalam memastikan pembangunan institusi pendidikan agama terus berkembang dan selari dengan keperluan zaman.
“Pada tahun 1933, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah berkenan merasmikan bangunan baharu madrasah ini di Kampung Ladang. Sejajar dengan perkembangan sistem pendidikan pada tahun 1958, madrasah ini dipecahkan kepada dua iaitu sekolah menengah agama Sultan Zainal Abidin Ladang bagi peringkat menengah rendah dan sekolah menengah agama atas Sultan Zainal Abidin bagi peringkat thanawi yang berpindah ke Batu Buruk.
“Meneruskan kesinambungan ini pada tahun 1980, lahirlah sebuah lagi institusi pendidikan Islam untuk peringkat diploma berpayungkan nama Sultan Zainal Abidin ke-3 iaitu, KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin).
“Diploma pengajian Islam menjadi mata rantai yang meneruskan tradisi madrasah Sultan Zainal Abidin Al-Arabiah, sekaligus menjadi umbi dan teras kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
“Semua institusi pendidikan dibawah nama Sultan Zainal Abidin ke-3 ini harus bekerjasama erat. Mereka ibarat akar, pohon dan ranting yang tumbuh daripada benih yang sama, berkembang bersama di daerah Kuala Terengganu.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan pelancaran buku ‘Permata Darul Iman’ 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, semalam.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, serta paduka-paduka anakanda lain.
Tabung Khairat Zainal Abidin yang ditubuhkan sejak tahun 1932 hasil muafakat antara istana, kerajaan dan rakyat, telah menjadi asas penting dalam membiayai perkembangan institusi pendidikan Islam di Terengganu termasuk Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, KUSZA, serta UniSZA.