Home Berita PAS Terengganu

Sultan Mizan Minta Jemaah Haji Berdoa Agar Terengganu Terus Diberkati

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengharapkan semua jemaah haji dari Terengganu berdoa agar Terengganu terus diberkati, dilimpahi kesejahteraan berpanjangan serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.

Dalam titahnya, baginda turut memohon agar turut mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh negara yang diuji oleh Allah dengan musibah seperti banjir, kebakaran atau kemalangan supaya terus diberi kesabaran dalam menghadapi ujian yang pastinya ada hikmah terbaik.

“Doakan juga saudara-saudara se-Islam kita di Palestin dan negara Islam lain yang masih dalam kesukaran agar diberikan kesabaran dan semoga Allah juga memberikan mereka nikmat keamanan,” titah baginda.

Titah Sultan Mizan itu dibacakan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili ayahandanya sempena Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji 2025 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.

Dalam pada itu,Sultan Mizan turut bertitah agar kesemua 142 bakal jemaah haji yang berlepas menerusi penerbangan keempat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agar menggunakan kesempatan melakukan ibadah yang terbaik dan sempurna agar dikurniakan haji yang mabrur.

“Ibadah haji merupakan ibadah yang memerlukan pengorbanan daripada segi wang ringgit, masa dan tenaga.

“Oleh itu, beta menasihati para jemaah untuk menggunakan kesempatan menjadi tetamu Allah dengan sebaik-baiknya penuhi masa terluang dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat seperti berzikir, memabaca al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah kerana peluang ini mungkin datang sekali seumur hidup.

“Beta berharap jemaah haji menjaga adab dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara dan hubungan baik Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” titah baginda.

Terdahulu, Menteri Besar Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ucapannya berkata sebanyak 2,008 jemaah haji dari negeri ini berlepas ke Arab Saudi menerusi lapan penerbangan dengan 495 daripadanya telah selamat tiba di Madinah.

Terdahulu Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu diiringi Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato’ Seri Muhammad Mua’az, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Dato’ Seri Nadhirah Zahrah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Ahmad Samsuri Mokhtar dan Isteri, To’ Puan Faizah Tuan Ab Rahman bersama Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Nara Setia dan isteri, To’ Puan Wan Radziah Wan Mokhtar.

Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji dalam majlis tersebut.