Home Berita PAS Melaka

Sukan memancing wajar dijadikan pendapatan tambahan nelayan – Bakri

141
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto SHAMSHAHIR SHAMSUDIN

TANGGA BATU, 11 Jan: Aktiviti rekreasi dan sukan memancing wajar diberi perhatian bagi menjadikannya sumber pendapatan tambahan kepada para nelayan, kata Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Tambah beliau, ini dapat meningkatkan sosio-ekonomi nelayan sepanjang pantai Negeri Melaka yang akhir-akhir ini teruk terjejas akibat aktiviti penambakan pasir.

“Semasa saya berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke 15 yang lalu, saya pernah berbicara soal ‘sukan memancing’ atau ‘rekreasi memancing’ kepada beberapa orang nelayan.

“Sukan memancing’ atau ‘rekreasi memancing’ untuk tambah pendapatan nelayan boleh menaikkan sosio ekonomi penduduk tempatan sepanjang pantai,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara ini di dalam satu hantaran di laman Facebook beliau malam tadi selepas beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon di Pejabat Perikanan Negeri di Batu Berendam, petang semalam.

Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon

Tambah beliau, nelayan yang berada di sepanjang Pantai Kelebang, Balik Bukit, Pantai Puteri dan Pantai Kundor dalam Parlimen Tangga Batu adalah nelayan pesisir pantai, namun hasil tangkapan dan pendapatan mereka berkurangan dan terjejas akhir-akhir ini akibat daripada aktiviti penambakan pasir.

Kata Bakri lagi, Pengarah Perikanan Melaka turut memberitahunya bahawa ikan-ikan yang berkualiti seperti ikan jenahak, ikan merah dan lain-lain spesis yang seumpamanya masih berada dalam populasi yang terpelihara.

“Kebanyakan spesis ini berada pada jarak 8-12 batu nautika dari pantai. Oleh itu, aktiviti ‘sukan memancing’ atau ‘rekreasi memancing’ ada potensi untuk dilaksanakan dan ianya sedang dalam kajian oleh Jabatan Perikanan Negeri Melaka.

“Insya-Allah kalau program terlaksana ia bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan nelayan tetapi ia juga dapat menaikkan taraf sosio ekonomi bagi penduduk dan peniaga tradisional yang berada dan tinggal di sepanjang pantai dalam Parlimen Tangga Batu,” ujarnya lagi.

Jelas Bakri, ianya nanti bakal menjadi daya tarikan baharu buat pelancong khususnya kaki pancing.

“Sudah tentu kumpulan kaki pancing akan datang bersama rakan taulan dan keluarga untuk bercuti serta beriadah. Bukan sekadar memerlukan sewaan bot untuk memancing, sudah pasti mereka juga memerlukan penginapan dan makan minum.

“Kita berharap agar impian ini terlaksana demi melihat agar taraf sosio ekonomi penduduk pinggir pantai dapat dipertingkatkan,” katanya.

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH