Oleh: Nur ‘Iffah
KANGAR : Para pendokong perjuangan PAS mestilah meletakkan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah S.A.W. di samping tidak berbantah-membantah yang boleh menimbulkan perpecahan, demikian diingatkan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohamad Fauzi Husain.
Kata beliau, ini kerana perpecahan akan melonggarkan ikatan sesama anggotanya serta melunturkan semangat dan kekuatan para amilin yang akhirnya jemaah Islam itu sendiri.
Beliau menambah, meskipun demikian perpecahan adalah perkara yang akan tetap berlaku dalam kalangan umat kerana pada setiap zaman akan wujud dua pihak iaitu pihak yang taat kepada Allah dan kumpulan yang mengingkarinya.
“Kita berjuang atas agama Islam, manakala mereka pula berjuang atas dasar sekular, maka perbezaan inilah yang menyebabkan perpecahan terus berlaku,” jelasnya di hadapan kira-kira 500 orang hadirin ketika menyampaikan tazkirah dalam Program Munajat Perdana Menangkis Fitnah Peringkat Negeri Perlis bertempat di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) baru-baru ini.
Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan setiap ahli PAS agar membudayakan sikap pemaaf seperti yang diamalkan Baginda Rasulullah S.A.W. kerana sikap berkenaan terbukti mampu menguatkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Selain itu katanya, sikap berkenaan juga mencerminkan keindahan Islam serta menjadikan agama Islam semakin dihormati oleh masyarakat bukan Islam.
“Walaupun Rasulullah dihina serta dicerca di Makkah selama 13 tahun, namun Baginda tetap memaafkan masyarakat Arab jahiliah (seperti yang berlaku) dalam peristiwa Fattahul Makkah (Pembukaan Makkah).
“Perbuatan baginda ini telah membuka mata penduduk Makkah, menunjukkan betapa islam memartabatkan sifat pemaaf, lalu ramai yang masuk Islam kerana peristiwa itu.
“Oleh kerana gerakan kita berdasarkan dakwah berteraskan petunjuk sirah, sikap pemaaf ini harus ada pada kita sama seperti yang ada pada Tuan Guru Presiden,” ujarnya.