Oleh : Nizar
PARIT BUNTAR, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Parit buntar menghantar 12 anggota menyertai misi bantuan pasca ribut yang membadai Parit Abas awal pagi, semalam.
Misi bantuan ini dilaksanakan bertujuan membantu pembersihan premis Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Ansar dan rumah penduduk yang terjejas selepas bumbung mereka rosak teruk dalam kejadian ribut yang berlaku antara jam 4.00 hingga 5.00 pagi.
Ketua Unit Bantuan Bencana JAM, Muhamad Asri Dahali ketika ditemui berkata selain usaha pembersihan, JAM turut membantu usaha baik pulih sebuah kediaman penduduk yang turut terjejas teruk mengakibatkan kemusnahan separuh kawasan bumbung rumah.
“Bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa, terutamanya mengurangkan tekanan bagi menghadapi cabaran pandemik COVID-19 untuk beradaptasi musibah ini dengan cara positif.
“Kami amat berdukacita dengan keperitan mangsa yang terpaksa menghadapi kerosakan rumah akibat ribut dari arah laut dan kami segera turun padang sejurus ribut itu reda.” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, kejadian ribut lewat pagi semalam, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Ansar rosak teruk apabila bumbung di beberapa bahagian yang melibatkan kelas diterbangkan angin kencang.
“Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000 dan buat masa ini kami memerlukan sumbangan orang ramai untuk membaiki dan mendapatkan keperluan baharu terutama peralatan pelajar.
“Kami (JAM) akan sentiasa berusaha untuk membantu dan menyuburkan budaya misi bantuan kemanusiaan khususnya di Kawasan Parit Buntar,” katanya.
Masyarakat yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Berhad (08022010050727) atas nama pusat terbabit.