Home Rencana PAS Johor

Subsidi perlu diteruskan, pertingkatkan bank makanan

110
SHARE

Firman Allah S.W.T :

وَقَالَ الْمَلِكُ اِنِّيْٓ اَرٰى سَبْعَ بَقَرٰتٍ سِمَانٍ يَّأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَّسَبْعَ سُنْۢبُلٰتٍ خُضْرٍ وَّاُخَرَ يٰبِسٰتٍۗ يٰٓاَيُّهَا الْمَلَاُ اَفْتُوْنِيْ فِيْ رُؤْيَايَ اِنْ كُنْتُمْ لِلرُّءْيَا تَعْبُرُوْنَ.

Mafhumnya : “Dan raja berkata (kepada para pemuka kaumnya), “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus; tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh tangkai) lainnya yang kering. Wahai orang yang terkemuka, terangkanlah kepadaku tentang takwil mimpiku itu jika kamu dapat menakwilkan mimpi”.

قَالَ تَزْرَعُوْنَ سَبْعَ سِنِيْنَ دَاَبًاۚ فَمَا حَصَدْتُّمْ فَذَرُوْهُ فِيْ سُنْۢبُلِهٖٓ اِلَّا قَلِيْلًا مِّمَّا تَأْكُلُوْنَ.

Mafhumnya : “Dia (Yusuf) berkata, “Hendaklah kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan”.

Surah Yusuf : 43 & 47

Ayat di atas merupakan saranan daripada Allah S.W.T dalam menguruskan hasil ekonomi sebagai persediaan menghadapi keadaan yang mencabar.

Kajian dan laporan menunjukkan akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan setelah tempoh kawalan harga siling dan subsidi berakhir pada 30 Jun ini.

PAS Johor melahirkan kebimbangan jika perkara ini benar-benar berlaku, ianya pasti akan terus menghimpit rakyat yang sudah berada dalam kesukaran.

Justeru dalam usaha mengekang kenaikan harga barangan keperluan, PAS Johor mencadangkan agar kerajaan meneruskan pemberian subsidi terutamanya untuk barangan keperluan utama harian.

Kerajaan juga dicadangkan agar dapat mempertingkatkan penghasilan makanan dan menambahkan lagi bank makanan negara.

Konsep kafaalah umum perlu diperkasakan melalui penggunaan wang zakat dan percukaian untuk kemaslahatan rakyat.

Penguatkuasaan perlu bagi memastikan barangan keperluan sampai kepada pengguna tanpa melalui lapisan orang tengah yang mengambil keuntungan atas angin.

Semua pihak perlu menampilkan keprihatinan masing-masing terhadap keadaan yang bakal berlaku.

Pihak NGO disarankan berganding bahu bersama kerajaan untuk menggerakkan kerja-kerja kebajikan kepada rakyat.

Rakyat pula dinasihatkan agar membudayakan perbelanjaan berhemah dan mengekalkan budaya prihatin sesama anggota masyarakat.

Prihatin, ambil maklum dan peduli keadaan sekeliling kita. Semoga ahli Keluarga Malaysia terus hidup dengan harmoni dan makmur dalam menempuhi cabaran kehidupan.

‘Islam Menyatukan Ummah’

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor.

22 Zulkaedah 1443
22 Jun 2022