Home Artikel PAS Pusat

Suara Islam: Lidah Rasmi Pertama PAS

327
SHARE


ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2020Entri 3


Oleh Mohd Fadli Ghani
https://m.facebook.com/mohdfadlighani


SUARA ISLAM: LIDAH RASMI PERTAMA PAS


MESYUARAT Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 telah membuat resolusi supaya PAS menerbitkan majalah bulanan PAS atau “Suara PAS” sebagai suara rasmi parti. Hasil daripada keputusan itu, PAS telah menerbitkan sebuah majalah bertajuk “PAS” pada 17 Ramadhan 1372 (31 Mei 1953). Tetapi majalah ini hanya terbit dua keluaran sahaja ekoran krisis kepemimpinan yang berlaku pada September 1953. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, telah diputuskan supaya PAS menerbitkan semula suara rasminya dengan nama “Suara Islam,” yang dibiayai oleh cawangan-cawangan PAS seluruh Malaya.


Walau bagaimanapun, penerbitan ini memerlukan permit daripada kerajaan. Setelah dua tahun memohon, pada 15 Mei 1956, PAS telah berjaya memperolehi permit penerbitan untuk majalah Suara Islam. Tetapi ia tetap mengambil masa yang agak lama untuk menyusun redaksi dan juga percetakan. Isu utama ialah tentang pengurusan, pembentukan redaksi yang boleh menyelia kandungan penerbitan, percetakan dan modal. Kesukaran untuk mengumpulkan dana dan mencari pencetak yang sanggup mencetak penerbitan PAS memberi kesan yang melambatkan penerbitannya.


Pada 30 Jun 1956, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik Ustaz Mohd Asri Haji Muda sebagai Pengurus dan Ketua Pengarang Suara Islam, di bawah pengawasan Jawatankuasa Penerangan PAS Pusat. Ustaz Amaluddin Darus pula dilantik sebagai Penolong Pengarang, manakala Jemaah Pentadbir Suara Islam terdiri daripada Mohd Asri (Pengurus), Amaluddin (Penolong Pengurus), Ustaz Ishak Lotfi Omar (Bendahari) serta Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim, Mohd Daud Salleh dan Haji Mohd Noor Yusof sebagai anggota-anggotanya.


Sebagai langkah awal bagi mengumpulkan dana dan modal, Jemaah Pentadbir Suara Islam mengatur tempahan setahun untuk 1,000 ahli PAS supaya dapat mengumpul dana pusingan sebanyak RM3,600. Namun langkah ini tidak mendapat sambutan, di samping kesukaran mencari pencetak yang sanggup mencetak suara PAS itu. Tekanan dan ugutan politik menyukarkan proses percetakan ini sehingga Matbaah Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) juga ‘tidak berani’ berbuat demikian, kerana ketika itu Kelantan dikuasai oleh Perikatan.


Akhirnya, Jemaah Pengurus Suara Islam menghadapi kebuntuan dan memutuskan untuk membuka percetakan sendiri. Mereka telah membeli mesin ‘gestener’ dan mesin taip secara ansuran. Semua petugas bekerja secara suka rela tanpa upah. Beberapa pemuda yang berkhidmat untuk penerbitan ini termasuklah Abdul Halim Esa, Ustaz Mohamad Junid (bekas Exco Kerajaan Perak) dan Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan). Mereka menulis, menyusun, menguruskan percetakan, membungkus dan mengedarkan kepada semua cawangan PAS.


Edisi pertama Suara Islam berjaya diterbitkan pada 17 Disember 1956 (15 Jamadil Akhir 1376), iaitu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima di Kuala Lumpur. Edisi pertama ini telah menyiarkan artikel tentang matlamat dan dasar perjuangan PAS yang ditulis oleh Prof Zulkifli Mohamad. Setelah berjaya menerbitkan edisi pertamanya, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima pada 23-25 Disember 1956 itu telah bersetuju supaya PAS mendirikan “press sendiri bagi menguatkan perdirian majalah Suara Islam” melalui sumbangan dana cawangan-cawangan dan ahli-ahli PAS.


Setelah itu, penerbitan Suara Islam mulai lancar dan boleh dikatakan terbit setiap bulan mulai Disember 1956 hingga 1962. Walau bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum 1959, penerbitan Suara Islam tergendala apabila tokoh-tokoh utamanya terpilih sebagai wakil rakyat dan terlibat dalam pentadbiran kerajaan di Kelantan. Setelah krisis politik Terengganu berakhir pada hujung Oktober 1961, Suara Islam telah diterbitkan semula dalam saiz tabloid, sedangkan sebelumnya bersaiz majalah. Di samping itu juga, PAS turut menerbitkan beberapa siri “Suara Mingguan PAS” mulai 11 April 1957 untuk membincangkan isu-isu kemerdekaan. Tabloid Suara Islam kemudiannya terkubur pada 1962, sehingga digantikan oleh “Bulan Bintang” pada 1967.


MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
7 Jamadil Awal 1441
3 Januari 2020