Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Tahun 2020: PAS Sarawak Jadi Pilihan

302
SHARE

Cabaran besar buat PAS Sarawak selepas PRU-14 adalah mengekalkan kedudukan PAS agar terus relevan di persada politik Sarawak.Kedudukan ini selain daripada kesan pilihanraya yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kalah ia juga kesan PAS tidak bersama dengan mana-mana pakatan politik termasuk di Sarawak.

Bentuk dan struktur lawan serta medan baru untuk persaingan memenangi PRU 15 nanti sudah semestinya dimulakan serta merta.Malah PAS Sarawak bakal berdepan Pilihanraya Negeri(PRN) Sarawak yang dijangka tahun hadapan.

Maka terbinalah Muafakat Nasional pada 14 September 2019 setelah UMNO dan PAS mematerai kerjasama politik atau “Taawun Siyasi”. Tetapi berbeza untuk Sarawak kerana kerjaan negeri adalah rakan pembangkang bersama PAS di Parlimen dan UMNO tiada di Sarawak.

Tetapi keutamaan PAS Sarawak tetap sama iaitu tidak akan memberi peluang kepada Pakatan Harapan(PH) untuk menguasai Sarawak dan PAS sedia bekerjasama untuk mengekang kearah perkara tersebut.

16 September 2019 yang merupakan tarikh penting buat rakyat Sarawak sebagai Hari Malaysia telah menjadi sejarah kepada kejayaan PAS Sarawak. Sambutan luar biasa rakyat berbilang kaum terutama kaum Iban di Bintulu telah memberi tempatan hebat kepada kelompok yang melihat PAS tidak mampu menarik sokongan rakyat.

Di dada akhbar tempatan dan nasional mendapat liputan meluas kejayaan unik PAS itu. Malah capaian secara langsung sambutan tersebut di media sosial telah mendapat “view” puluhan ribu pada hari tersebut. Ini secara tidak langsung memberi tamparan hebat buat mereka yang memandang PAS terlalu asing di Sarawak.

Jika di bandar seperti Bintulu PAS mula diterima, sebenarnya kejayaan PAS ini bukan hanya persepsi yang terbina, kubu kuat PAS iaitu Dun Beting Maro dan Parlimen Batang Lupar menunjukkan prestasi cemerlang PAS Sarawak.

Sejak menyertai PRU 1999 Dan PRN tahun 2001, PAS berjaya menaikan sokongan dengan kenaikan undi PAS seiiring dengan peningkatan jumlah pengundi. Malah PH lansung tiada kekuatan disini sehinggakan undi mereka lebih rendah berbanding undi rosak pada PRN lepas iaitu 103 undi berbanding 104 undi rosak. Lebih dari itu lawan PAS dikerusi tersebut iaitu PBB juga menang tipis.

Ini signal penerimaan rakyat kepada PAS dan perkataan yang tidak akan terpadam kerana PAS sebuah parti politik yang berprinsip dan bukannya berlandaskan pejuangan nafsu manusia.

Kebangkitan PAS Sarawak terselah dengan kehadiran ramai golongan profesional selain agamawan kedalam organisasi PAS sejak tiga tahun lepas. Golongan pendidikan tinggi ini terdorong oleh keinginan mereka untuk mengetahui tentang PAS yang akhirnya mendorong mereka untuk berkhidmat kepada PAS.

Tahun hadapan 2020 akan menjadi jangka masa untuk PAS menyerlah di persada politik Sarawak kerana jangkaan PRN yang akan berlaku pada bila-bila masa. Fokus dan tumpuan di 11 kerusi sebelum ini akan terus dibuat. Jangkaan perubahan kerusi dan tambahan tidak ditolak kemungkinan akan berlaku.

PAS yakin selepas BN ditolak dan kini prestasi PH yang lebih teruk maka rakyat mencari landasan politik yang baru. Sudah pasti dengan prestasi cemerlang PAS sebagai penyeimbang kepada pembuat dasar dan polisi di parlimen, pengalaman memerintah sebagai kerajaan negeri di Kelantan yang bertahan lebih 20 tahun dan prestasi cemerlang kerajaan negeri Terengganu dimana Menteri Besarnya seorang profesional serta pakar aeroangkasa menjadikan PAS sangat kehadapan masa kini. Malah nadi utama Muafakat Nasional adalah PAS.

Kekuatan yang bakal membentuk kerajaan baru persekutuan ini akan turut mempengaruhi GPS yang sememangnya tidak mahu kekal bersendirian atau berkecuali seperti sekarang. PAS Sarawak dalam masa sama akan terus komited untuk memelihara perpaduan kaum di negeri ini dan sudah pasti prinsip Islam yang sesuai di mana-mana tempat dalam memerintah biarpun majoriti tempat tersebut bukan Islam.

Di sinilah perlu difahami bahawa prinsip Islam bukan hanya bertumpu untuk solat, bertudung dan bersifat fizikal. Tetapi prinsip kehidupan sejagat atau universal seperti sistem sosial, ekonomi, dasar dan polisi yang adil dan tidak menindas mana-mana pihak atau agama adalah prinsip Islam yang dimaksudkan. Inilah pentingnya tahun hadapan sebagai garisan permulaan untuk PAS membuktikannya.

Di kesempatan ini juga, kami dari PAS Sarawak ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2020 kepada seluruh rakyat Sarawak dimana sahaja anda berada.

Harapan kami, nilailah kerja-kerja serta usaha PAS dengan adil, secara terbuka, bersifat akedemik dan bukan polemik ataupun emosi kepartian, agama serta kumpulan semata-mata.

Semoga tahun baru nanti akan terus memberi kekuatan kepada kami untuk terus memberi khidmat kepada Sarawak dari pelbagai sudut.

Mohammad Arifiriazul Bin Paijo
SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN PAS SARAWAK