Home Selangor

SRITI SELANGOR | “Prinsip Pendidikan Islam”

1113
SHARE

PRINSIP PENDIDIKAN ISLAM

Allah SWT berfirman:

وَاللّٰهُ اَخْرَجَكُمْ مِّنْۢ بُطُوْنِ اُمَّهٰتِكُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ شَيْــئًا ۙ وَّ جَعَلَ لَـكُمُ السَّمْعَ وَالْاَبْصٰرَ وَالْاَفْئِدَةَ ۙ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.”
(Surah An-Nahl :16 ;78)

Sewaktu manusia dalam kejahilan tersebut, ALLAH mengurniakan pancaindera zahir, batin dan hati (qalbun). Melalui pancaindera tersebut manusia dapat mempelajari dan mengetahui sesuatu. Pancaindera tersebut yang meliputi zahir dan batin merupakan tempat proses pemindahan ilmu. Dengan 3 pancaindera (zahir, batin, hati) itu ilmu akan sampai ke jiwa dan hati (qalbun) manusia yang akhirnya melahirkan sikap dan perilaku serta peradaban. Pendidikan adalah wadah manusia berinteraksi dengan menggunakan pancaindera.

Bahkan lebih jauh dari itu, pendidikan tidak hanya membangun masyarakat, tetapi memberikan pola, warna dan model terhadap peradaban masyarakat itu sendiri. Pola pendidikan yang berbeza akan melahirkan model dan bentuk peradaban yang berbeza pula. Pola pendidikan sekular dualisme akan melahirkan peradaban yang sekular dan masyarakat yang jauh dari pegangan agama. Demikian pula sebaliknya, pendidikan Islam akan melahirkan peradaban yang Islami.

Islam ada identitinya yang tersendiri. Begitu juga pendidikan Islam mempunyai karekteristik khusus, di mana karekteristik khusus itu yang membezakannya dari sistem pendidikan yang lain. Karekteristik itu mempunyai beberapa perkara. Antaranya prinsip atau dasar falsafah pendidikan Islam, pengisiannya (kurikulum), sumber ilmu dan tujuannya.

 PRINSIP TAUHID
Menurut perspektif Al-Quran, tauhid adalah merupakan akar yang memberikan tenaga kepada pokok, dahan dan daun kehidupan. Semua aktiviti kehidupan mestilah bermula dari tauhid tersebut, ini termasuklah aktiviti yang berkaitan dengan pendidikan.

 Pendidikan terbina atas beberapa komponen;
I. Pembina Dasar Pendidikan (menteri/alp)
II. Guru dan pentadbiran
III. Murid/Pelajar/Siswa
IV. Kurikulum

Nilai tauhid sewajibnya dicerminkan pada setiap komponen tersebut. Nilai tauhid mesti mewarnai peribadi menteri/alp, guru dan pentadbiran serta murid iaitu melalui komunikasi atau interaksi sesama mereka.

 Pembina Dasar dan Guru semestinya tampil sebagai peribadi yang bertauhid. Wujud dalam perilaku akhlaknya, tutur kata, pemikiran dan perasaannya. Semuanya wajib diwarnai dengan tauhid.

 Demikianlah murid, mereka semestinya dilihat sebagai golongan yang mencari nilai-nilai tauhid. Semua aktiviti pembelajaran (PdPC) dan interaksi serta komunikasi antara guru dan murid tidak boleh bertentangan dengan prinsip tauhid.

 Dan komponen pendidikan yang sangat penting juga untuk dibangunkan atas prinsip tauhid adalah kurikulum. Kurikulum ini mencakupi silibus, matapelajaran, metod dan tempoh waktu dilaksana atas pertimbangan ajaran tauhid.
• Silibus misalnya, ditetapkan dengan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah serta berorientasikan kepada penanaman kesedaran diri sebagai makhluk ALLAH, bukan semata-mata penanaman ilmu, peperiksan dan sijil. Ilmu itu mestilah dilihat sebagai jambatan bagi murid untuk mencapai ketauhidan yang hakiki, iaitu penyerahan diri sepenuhnya kepada ALLAH. Kurikulum seperti ini semestinya menyeluruh (kaffah) dalam semua bidang kajian dan matapelajaran yang disajikan kepada murid, tidak ada matapelajaran atau subjek apa pun yang tidak berlandaskan prinsip tauhid.

 Terdapat 3 aspek utama yang tidak mungkin boleh dipisahkan apabila membincangkan mengenai tauhid sebagai prinsip pendidikan Islam.
I. ALLAH
II. Manusia
III. Alam

Ust Mohamad Razali Bin Saari
Guru Besar
SRITI At Ta’alim