Home Berita PAS Sabah

SRITI dan PASTI perkemas taktikal pasukan

303
SHARE

Oleh : Nur Marlyannah Umar
16 Julai 2022

LAHAD DATU : Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Lahad Datu dan PASTI Lahad Datu mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring di sini, pada Khamis dan semalam.

Perlawanan persahabatan bola sepak diadakan di gelanggang futsal Dynason manakala bola jaring pula di gelanggang FAMA.

Ketua Dewan Pemuda PAS Lahad Datu, Landari Labobo berkata, perlawanan persahabatan ini dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pasukan bagi melatih kebolehan pemain dan membina semangat berpasukan.

“Di samping itu, kedua-dua pasukan secara tidak langsung dapat memperbaiki taktikal permainan masing-masing,” tambah beliau yang juga Pengerusi PASTI Lahad Datu.

Menurut Landari, pasukan bola sepak dan bola jaring PASTI akan mewakili Zon Pantai Timur ke Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring Peringkat PASTI Negeri Sabah yang akan berlangsung Ahad nanti, di Tawau.

Turut hadir ke perlawanan, Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Nizam Latuah yang berkesempatan menghadiahkan coklat kepada pemain dan beramah mesra bersama ibu bapa yang hadir.