Oleh: Muhammad Hadi
PADANG BESAR: Sekolah Rendah Islam (SRI) At Taqwa, Beseri dekat sini merayu sumbangan orang ramai bagi menyiapkan projek pembinaan bangunan baharu empat tingkat sekolah berkenaan.
Menurut mudirnya Hj. Azamhari Mohamood, pihaknya amat berharap dana pembangunan tersebut dapat dipenuhi bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual, demi keselesaan para pelajar.
“Untuk makluman, dana yang pihak sekolah perlukan adalah sebanyak RM 300,000 bagi menyempurnakan pembinaan bangunan empat tingkat bagi fasa 1.
“Projek pembinaan bangunan tambahan ini terpaksa dibuat bagi menampung bilangan pelajar SRIAT yang semakin bertambah setiap tahun.
“Insya Allah apabila siap kelak, bangunan baharu ini akan menempatkan bilik-bilik khas seperti makmal sains, bilik rawatan, bilik guru, tandas, dewan serbaguna dan kelas tahfiz Al Quran yang akan memberi manfaat serta keselesaan kepada para pelajar dan guru,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya lagi, bersempena dengan ketibaan bulan Ramadhan, SRIAT turut membuka peluang kepada para dermawan untuk memberikan sumbangan kepada pihak sekolah dalam bentuk infaq, sedekah dan wakaf.
Sumbangan dalam bentuk kewangan katanya, boleh disalurkan menerusi akaun sekolah bernombor 09010010042297 (BIMB) dan 559012003014 (Maybank) manakala bukti sumbangan pula hendaklah dihantar menerusi aplikasi Whatsapp kepadanya di talian 013-4040777 untuk tujuan rekod.
Tambah beliau, SRIAT juga telah mewujudkan kemudahan berwakaf menerusi Jompay yang membolehkan para penyumbang memberikan sumbangan melalui telefon mudah alih dan kemudahan perbankan internet.
“Kepada para penyumbang, kami doakan agar amal jariah yang dilakukan ini dibalas dengan rezeki yang berlipat ganda oleh Allah SWT serta dikurniakan ganjaran syurga di akhirat nanti,” ujarnya.