Home Kenyataan Media PAS Kedah

SOLIDARITI MB KEDAH : PMX JANGAN SAMPAI DIGELAR DIKTATOR

50
SHARE

 

YAB Menteri Besar Kedah Dato’ Sri Sanusi Md Nor dilaporkan dipanggil polis selepas sahaja kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim di parlimen, bahawa Peguam Negara akan mengambil tindakan berkenaan kenyataan MB Kedah mengenai status Pulau Pinang milik Kedah.

Perdana Menteri harus sedar bahawa ini bukanlah isu baru bagi Negeri Kedah setiap kali bercakap tentang bayaran pajakan yang terlalu rendah serta bekalan air dari Kedah ke Pulau Pinang tanpa sebarang bayaran. Exco Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 2017 Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid juga pernah menyebut mengenai usaha Kedah mengambil kembali Pulau Pinang.Bahkan setiap Menteri Besar Kedah sebelum Dato’ Sri Sanusi memohon agar bayaran pajakan kepada Kedah dinaikkan.

Perdana Menteri tidak sepatutnya menanggapi kenyataan seorang ketua kerajaan negeri secara emosi yang keterlaluan apatah lagi kenyataan itu adalah benar berdasarkan fakta sejarah.Maka kenyataan MB Kedah boleh sahaja dianggap kenyataan merujuk sejarah tanpa perlu terbawa-bawa reaksi beremosi pemimpin DAP Pulau Pinang terhadap isu ini.

Adakah melontarkan sesuatu pandangan di zaman Kerajaan Madani ini sudah menjadi satu kesalahan? Umum mengetahui perjuangan MB Kedah untuk membangunkan negeri ini seperti projek KXP yang tidak diberi kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan walaupun pembangunannya tidak melibatkan peruntukan persekutuan. Namun dalam masa yang sama Pulau Pinang mendapat peruntukan untuk lapangan terbang dan tambahan peruntukan untuk projek LRT.

Kedah bukan sahaja tidak dapat keistimewaan serupa, malah bercakap tentang sejarah negeri sendiri pun tidak dibenarkan? Hanya kerana kenyataan itu tidak disenangi pemimpin DAP Pulau Pinang?

Sebarang ucapan berkenaan Kedah- Pulau Pinang mempunyai punca tersendiri dan asas kenapa ia dibangkitkan. Justeru itu ia mesti diselesaikan secara adil dan bukannya secara ugutan atau pilih kasih terang-terangan. Jangan sampai di kemudian hari, generasi akan datang mengenang MB Kedah pernah ditekan oleh pemimpin persis diktator.

YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Hj Ghazali

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah

Exco Kerajaan Negeri Kedah