Home Berita PAS Terengganu

Solat Hajat, baca Qunut Nazilah di seluruh negara 3 Ogos – PAS

43
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru seluruh negara untuk mengadakan solat hajat dan bacaan doa qunut nazilah demi Gaza pada 3 Ogos 2024 sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Dalam kenyataan media hari ini, Abdul Hadi berkata bahawa langkah itu diambil sebagai respons kepada cadangan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang mencadangkan 3 Ogos sebagai hari solidariti untuk penduduk Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel.

“Sehubungan dengan itu, saya mengarahkan seluruh ahli PAS dan mencadangkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah pada hari tersebut” katanya dalam kenyataan tersebut.

Abdul Hadi menambah, tujuan utama inisiatif itu adalah untuk memohon pertolongan dan kemenangan kepada rakyat Palestin serta meminta Allah menghancurkan bala tentera Israel dan sekutunya yang bertindak zalim tanpa perikemanusiaan.

“Kita harap dengan tindakan ini, rakyat Malaysia dapat menunjukkan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendesak masyarakat antarabangsa untuk lebih prihatin terhadap krisis yang sedang berlaku di Gaza.

“Solat Hajat ini akan diadakan di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara pada 3 Ogos, yang turut diharapkan dapat mengumpulkan sokongan moral dan doa daripada rakyat Malaysia untuk Palestine,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan di akaun Telegram Hamas Isnin lalu, Haniyeh menggesa 3 Ogos menjadi hari kebangsaan dan antarabangsa untuk menyokong Gaza dan tahanan.

“Penyertaan negara, Arab, Islam serta antarabangsa yang berkesan untuk tujuan ini dan kesinambungan semua bentuk demonstrasi serta perarakan terhadap pendudukan, pencerobohan dan jenayah Zionis hinggalah kekejaman terhadap banduan tahanan di penjara Nazi.

“Kami menantikan 3 Ogos sebagai hari yang penting dilihat dan berkesan di semua bahagian Palestin, kem pelarian dan diaspora serta di dunia Arab, negara Islam dan dalam kalangan semua orang bebas di dunia untuk menyokong rakyat kami di Gaza dan tahanan.

“Ia dibuat berikutan kesunyian antarabangsa dan ketidakupayaan untuk menghentikan perang agresif ini terhadap rakyat dan banduan. Berat sebelah dalam sokongan dan perkongsian penuh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dalam pencerobohan ini.

“Serta kegagalan institusi hak asasi manusia dan kemanusiaan dalam memikul tanggungjawab mereka dalam memberikan sokongan, bantuan dan kemenangan untuk rakyat kita di Semenanjung Gaza dan tawanan kita di penjara zionis,” katanya yang dilaporkan portal Al Quds.

Sejak 7 Oktober lalu, Israel dengan sokongan AS melancarkan perang ke atas Gaza sehingga mengakibatkan lebih 130,000 syahid dan cedera yang kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

Lebih 10,000 lagi hilang di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kebuluran yang dianggap bencana kemanusiaan terburuk di dunia.