Home Artikel PAS Perlis

Slim: Rakyat Muafakat Tolak Pakatan

391
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang berlangsung semalam menghantar isyarat jelas penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) sudah tidak dapat dibendung.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd. Shukri Ramli, kemenangan calon BN semalam melengkapkan siri kekalahan yang dialami PH serta calon-calon tajaannya sejak PRK P78 Cameron Highlands yang lalu.

“Kemudian, PH terus tersungkur di Semenyih, diikuti dengan DUN Rantau manakala keputusan PRK di Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan terbaru di Slim menunjukkan betapa seriusnya penolakan rakyat terhadap mereka.

“Rumusan paling mudah yang boleh kita buat ialah rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap PH,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau diminta mengulas berkenaan kemenangan besar yang diraih calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim.

BN menerusi calonnya Mohd Zaidi Aziz berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 10,945 undi, jauh mengatasi margin kemenangan pada PRU14 iaitu sebanyak 2,183 undi.

Meskipun PH sebelum ini mengumumkan untuk tidak meletakkan calon, pakatan berkenaan dilihat begitu bersungguh-sungguh berkempen untuk calon bebas Amir Kyushairi.

Amir yang mendakwa mewakili kumpulan bebas yang menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad walaubagaimanapun hanya mampu mendapat 2,115 undi.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri yang juga ADUN Sanglang turut menyifatkan keputusan malam tadi juga turut didorong rasa muak pengundi terhadap polemik berterusan yang berlaku dalam PH.

“Mereka (PH) lebih gemar bergaduh sesama sendiri demi berebut kuasa berbanding mengutamakan agenda membela nasib rakyat.

“Seharusnya kita perlu sedar bahawa rakyat pada hari ini inginkan sebuah kerajaan yang kuat, yang muafakat, yang ikhlas memimpin rakyat dan negara agar hidup mereka terbela dan masa depan mereka terjamin.

“Jika rakyat dah muafakat menolak PH, apakah kita tidak boleh bermuafakat untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menghadapi PRU ke 15 nanti?

“Justeru saya menyeru dan merayu agar permuafakatan yang sedang kita bina ini diperkukuhkan, utamakan agenda membina negara dan elakkan daripada mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh kerajaan PH sebelum ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada Mohd Zaidi yang telah terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang baharu.